Kif hal ? Alhamdulillah. Dah doakan saudara di Gaza? dah follow-up mereka?
Post ni diberi tajuk al-Haneen wa al-Syauq yg bermaksud - nostalgia dan kerinduan.
Saja diberi tajuk ini. Ia menggambarkan melankolik jiwa untuk melemaskan jiwa sedalam mungkin, ke dalam lautan tarbiyah dan iman.
Ia merupakan suatu bentuk pemandangan kehidupan syurgawi di dunia manusia ini. Ia memberikan kepada para daie sensitiviti yg penuh kesedaran dan kesungguhan, dalam memahami ma'ani tarbawiyah dalam setiap bentuk kehidupan.
Suatu malam, tika itu aku dilanda kekusutan atas beberapa perkara, aku telah bermimpi bertemu seorang murabbi yang pernah mendidikku di Malaysia satu ketika dahulu. Malam itu aku memasang MP3 sebelum tidur untuk melelapkan mata dengan haluan telinga. Tidur ku yang nyenyak selepas surah al-Mulk diutarakan diakhiri dengan dendangan nasyid oleh salah seorang murabbi di Malaysia (bertemuku dalam mimpi sambil bernasyid berulangkali).. ia berbunyi ;
والنصر نصر الله آت دون ريب أو توان
"dan kemenangan, iaitu pertolongan Allah akan datang, tanpa ragu-ragu dan angan-angan"
Ia adalah lirik daripada salah satu lagu lama IM yang bertajuk 'Yatawathabuun' (saling meningkat / mendaki) .
Ia didendangkan oleh Abu Ratib, seorang penasyid IM yang telah lama berkecimpung dalam arena dakwah IM dan menggunakan potensinya dalam menyebarkan nasyid-nasyid islami yang penuh semangat dan makna tarbawi dan dakwi.
Pagi itu, aku bangun dalam linangan airmata kerinduan mengenangkan sang murabbi, dan berbekalkan semangat baru yg diberi dalam mimpi yang penuh bermakna.
Ingin kubawa beberapa kisah para sahabat yang mengajar kita contoh dalam meleburkan perasaan dan jiwa dalam arena muhimmatur risalah ini ;
Lihat kisah Abu Bakr r.a ketika ayahnya masuk Islam. Beliau menangis. Apabila ditanya apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Abu Bakr? Beliau berkata : Sesungguhnya sekiranya yang memeluk Islam itu adalah Abu Talib (bapa saudara Nabi s.a.w) sudah pasti Baginda s.a.w akan gembira.
Lihat kisah Abu Ayyub Al-Ansori r.a ketika peperangan menawan Kota Kostantinopel, bagaimana beliau diminta dikuburkan di situ, walaupun tentera Islam terpaksa berundur pada ketika itu. Beliau mahu mendengar derapan tapak kaki kuda tentera muslimin yang dapat menawan kota ini suatu hari nanti. Akhirnya beliau dikuburkan di situ.
Lihat kisah Umar Khattab, pada suatu hari beliau tidak mampu melelapkan mata, kerana teringat akan saudaranya. Lalu pada keesokan harinya beliau pergi menemuinya dan mendakap saudaranya melepaskan kerinduannya.
Lihat kisah Rasulullah s.a.w, ketika Baginda suatu hari berkata kepada sahabatnya ;
Aku rindukan kekasih-kekasihku . Sahabat bertanya ; Bukankah kami ini kekasihmu wahai Rasulullah ? Baginda s.a.w menjawap ; Bahkan kamu ini sahabat-sahabatku, tetapi kekasih-kekasihku adalah mereka yang datang selepas ku, beriman denganku dan tidak pernah melihat wajahku.
Lihat kisah Rasulullah s.a.w, ketika Baginda di penghujung usianya, apakah yang diucapkan? itulah dia suatu kalimat yang menunjukkan muhimmatur risalah dalam prioriti yang pertama dalam fikirannya iaitu ;
Ummati .. Ummati .. (umatku .. umatku)
Alhamdulillah. Mesir banyak mengajarku pengertian-pengertian yang mendalam ini. Ia adalah anugerah Allah yang sangat mahal. Perasaan lebur dan lemas dalam lautan makna tarbawi dan dakwi membawa makna yang sangat besar dalam perkembangan seimbang bagi seorang pemikul dakwah.
Bagaimana seseorang mampu merindui Rasulullah s.a.w sekiranya pemikirannya bermain-main dengan perkara-perkara duniawi ? Bagaimana seseorang merindui kemenangan Islam sekiranya fokusnya adalah permasalahan peribadi sendiri yang tak berpenghujung penyelesaiannya?
Bagaimana seseorang mampu mencintai saudaranya seakidah / sefikrah sekiranya dirinya disibukkan dengan perkara-perkara peribadi dan perhiasan syaitan di dunia sementara ini ?
Bagaimana seseorang mampu mendalami perasaan para sahabat yang dalam sekiranya hidupnya pun tidak langsung mencontohi mereka ?
Daie yang larut dan lebur dalam tarbiyah dan dakwah tidak mampu memikirkan perkara-perkara remeh, pemikirannya bergerak di sekitar objektif-objektif dakwah dan menyalurkan perasaannya pada objek-objeknya.
Persoalan perasaan dan nostalgia dalam arena perjuangan ini adalah yang termanis bagi para pemikul amanah dakwah. Itulah hiburannya. Kenangan bersama ikhwah itulah pengalaman termanisnya. Pengalaman dalam dakwah itulah sejarah hidupnya. Perasaan dan jiwa yang diberi kepada dakwah ini tidak akan pernah sia-sia, bahkan ia akan dibangkitkan bersama-sama orang-orang yang dicintainya di dunia. Sekiranya dia mencinta Rasulullah s.a.w, maka dia sudah pasti akan bersama Baginda di akhirat. Sekiranya selain daripada itu.. maka dengan merekalah dia berkumpul.
Kesimpulannya, timbulkan keasyikan dan hayati makna perasaan dan jiwa yang tenggelam dalam lautan yang dalam ini. Ia akhirnya akan menjadikan seseorang daie itu adalah hasil dakwah dan tarbiyah yang teguh dan setia.
Akhirnya bersatulah ia dengan dakwah, dan jadilah ia sebahagian dari dakwah, dan dakwah adalah sebahagian dari dirinya.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment