Monday, August 9, 2010

Basyariyatud Dakwah



Salam.

Sudah berbulan tak post di blog ini. Moga-moga Allah merahmati kita semua.

--

Bila kita menyebut yang kita adalah pendakwah di jalan Allah, jangan sekali-kali kita lupa bahawa kita adalah manusia.

Hakikat kita sebagai manusia tetap tidak akan berubah, walaupun kita sudah berjalan di atas jalan ini puluhan tahun. Dalam kita mengecapi nikmat dalam hidup yang dipenuhi tarbiyah dan iman, kita sepatutnya tidak mencuaikan hakikat ini, bahawa pendakwah adalah manusia biasa, seperti manusia yang lain, yang bezanya hanyalah mereka ini pemikul risalah.

Dalam surah Al-Kahfi ;

"Katakanlah wahai Muhammad ; sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, dan aku telah diberi wahyu bahawa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan yang satu, maka barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia beramal soleh dan tidak mensyirikkan-Nya sedikit pun"

Memahami hakikat dakwah yang Rabbani, dakwah yang Syumul, dakwah yang Alami, ia seharusnya dilengkapkan dengan nilai manusiawi, baru kita boleh betul-betul faham bahawa dakwah itu dibawa oleh manusia, dan ditegakkan dengan usaha manusia. 

Aspek Basyariyatud Dakwah merupakan satu aspek yang tidak kurang pentingnya untuk kita selami dan hayati berbanding Izzatud Dakwah, Halawatud Dakwah dan Rabbaniatud Dakwah. Dengan pemahaman yang begitu, akhirnya kita tahu sesuatu hakikat yang sangat penting iaitu ;

Dakwah ini akan mengajar kita bagaimana menjadi manusia yang sejati. Bagaimana hakikat sebenarnya erti kemanusiaan. Bagaimana hakikat sebenarnya kehidupan sebagai seorang manusia.

Manusia perlukan identiti, perlukan keturunan, perlukan keluarga, perlukan makanan dan minuman, perlukan komuniti, perlukan kasih-sayang, perlukan belaian, perlukan kebersamaan dan macam-macam lagi keperluan yang tidak terkata. 

Bila dakwah datang menyinari hidup mereka, ia tidak menghapuskan sedikitpun keperluan mereka dan identiti mereka, sebaliknya dakwah akan menjadikan hidup mereka lebih 'hidup' dan kemanusiaan mereka lebih 'manusia'. Tidakkah kita pernah terbaca surah Al-Anfaal ;

"Wahai orang-orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan Rasul-Nya ketika dia menyerumu kepada apa yang menghidupkan kamu (Islam)"

Dalam surah Al-An'am ;

"Adakah seorang yang mati kemudian Kami hidupkan dia dan berikan dia cahaya untuk dia berjalan dengannya di sekeliling manusia, boleh disamakan dengan seorang berjalan dalam kegelapan yang tiada jalan keluar daripadanya ?"

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menunjukkan sebenarnya Islam itulah yang menghidupkan seseorang manusia, dakwah itulah yang menjadikan manusia itu hidup. Kenapa saya samakan Islam dengan dakwah ? Ini kerana dalam kamus daie ; Tiada Islam tanpa dakwah, dan tiada dakwah tanpa Islam. 

Memahami hakikat Basyariyatud Dakwah, ia akan menjadikan kita sentiasa berlapang dada dengan ahli-ahli jemaah dakwah yang sekali dengan kita. Ada orang mula mengenali dakwah dengan sifat dakwah yang sangat agung, lantas dirinya tertarik dan mahu bergabung dengan gerakan dakwah tersebut.

Tapi setelah dia memerhati dalam dua atau tiga tahun gelagat beberapa ahli-ahli yang telah bergabung dengannya, dia mungkin merasa terkilan dan malas serta seolah-olah tertipu. Ini kerana dia belum matang lagi dalam menilai sifat dakwah itu sendiri. Dia mungkin-mungkin sudah memahami hakikat Adzomatud Dakwah, yang dengannya menjadikan dia kagum dan takjub dengan dakwah yang telah menariknya. Namun, sebenarnya dia belum benar-benar memahami dakwah ini dari sudut sifat Basyariyah.

Dakwah yang tidak basyariy bukanlah dakwah Islamiah yang sebenar.

Nabi s.a.w tidak boleh melihat muka Wahsyi walapun sudah masuk Islam kerana baginda adalah manusia.

Umar r.a telah tersilap keluarkan fatwanya yang menetapkan mahar bagi wanita juga, kerana dirinya adalah manusia.

Setiap pemikul dakwah adalah manusia biasa, yang membezakan mereka dengan manusia lain adalah kerana mereka ini serius dalam memikul risalah. Mereka adalah orang yang merdeka, tidak menuntut kepentingan duniawi. Islam ini terlalu agung bagi mereka sehinggakan dunia mereka terasa tidak bernilai untuk dikorbankan pada jalannya.

Ini merupakan satu pesanan ringkas kepada pendakwah yang ingin memulakan jalannya bersama jemaah dakwah yang serius. Mereka tidak harus cepat mengecop peribadi-peribadi dan mengatakan 'enta tak serupa bikin' dan sebagainya, bahkan mereka sebenarnya perlu lebih lama lagi dalam dakwah ini untuk menilai perbuatan beberapa kerat ahli jemaah yang mungkin dirasakan tidak patut dan sebagainya. 

Ketidakfahaman hakikat ini akan menjadikan seorang akh itu mungkin futur, atau lebih teruk lagi mungkin keluar daripada kelompok dakwah ini, kerana merasakan kekurangan dan serba kurang pada beberapa ahli dalam kelompok itu.

Ia bukan satu mesej bahawa yang senior tidak boleh ditegur dan yang junior hanya patuh, tidak sama sekali. Jemaah dakwah ini terlalu suci untuk itu. Tapi ia hanya membawa satu sudut pandangan yang jarang-jarang disedari oleh pendakwah yang baru memulakan langkahnya, untuk menjadi insan yang serius.

Maka, fahamilah ia. Dengan kefahaman itu baru kita mampu meningkat, baru kita mampu melonjak, baru kita mampu berlari, baru kita mampu untuk terus hidup bersamanya. Mana mungkin kita mampu buat kesemuanya jika dakwah bersifat malakiy (malaikat) yang tidak pernah salah dan tidak pernah bernafsu ??

Wallahua'lam.