Monday, June 15, 2009

Kerja daie yang saya fahami


Salam.
Kif hal ? Kuwais ? Khoir insyaAllah.

Suatu hari, seorang ustaz pernah bertanya kepada pendengar-pendengarnya ; Siapakah yang paling baik pekerjaannya ?

Maka jawaplah beberapa orang. Kemudian ustaz itu memberi jawapan. Jawapannya adalah skema.

Didatangkan satu ayat Al-Quran ; surah Fussilat.
"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya berbanding orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh, dan mengatakan aku ini dari kalangan orang muslimin".

Saya pada ketika itu masih tidak atau kurang menghayati erti dakwah yang dijalankan Rasulullah s.a.w. Biasalah, budak-budak lagi waktu itu. Suka kepada teori-teori tinggi-tinggi, bula masuk amali mula mengundur diri, ataupun buat alasan biar slow asalkan steady. Masa itu masuk gear satu pun belum reti. Tapi dengan semangat-semangat nampak la macam berapi-api. Memori.

Waktu kecil dulu, saya menjadi suka bila masuk bincang perkara-perkara besar ini. Nampak macam konon-kononnya banyak ilmu. Keluarlah istilah-istilah Khilafah, Daulah, Ustaziatul Alam, Qoidah Sulbah, Manhaj, Uslub dan sebagainya.

Padahal itu cuma orang terang sikit-sikit, baca buku sikit-sikit, dan baru faham sikit-sikit. Buku-buku Mustafa Masyhur dan Abu Ammar memang dibawa dalam beg boleh kata ke mana-mana. Padahal ketika itu bukan faham sangat pun. Ambil 'zuq' la orang kata.

Bila bersembang dengan kawan, cerita masalah umat. Kononnya nampak macam orang besar. Tapi satu 'amal yang sebenar' pun belum dibuat. Maratib amal dibaca berulangkali, rukun bai'ah dirujuk selalu, muwasofat peribadi muslim sepuluh dan lain-lain. Pendek kata, mahu jadi ikhwanlah kiranya. Sibuk berseronok dengan dunia remaja yang konon-kononnya bersih dan mantap, terlupa asolah dan perkara asal dalam dunia dakwah ini.

Orang kata, nak fahami dakwah Ikhwan, kena baca Majmuat Rasail Imam Hassan Al-Banna. Saya disarankan untuk baca. Dengan terjemahan yang diterbitkan Pustaka Salam, saya pun membelek-belek buku 'core' fikrah Ikhwan Muslimin.

Baca tajuk Dakwatuna. Tak faham. Baca tajuk Risalah Muktamar Kelima. Tak faham. Cuba buka subtopik Islamuna, tak faham. Bukan tak faham langsung, tapi macam tak dapat maksud Imam Asy-Syahid. Dalam hati terdetik "apa dia cakap ni?"

Rupanya ku fahami bahawa kita tidak mampu memahami sebenarnya maksud Imam As-Syahid tersebut melainkan kita sudah berada benar-benar atas jalan amal yang dilukis oleh beliau rahimahullah. Bila kita sudah atas jalan, jelas semuanya. Mana lampu merah dan hijau. Mana garisan kuning dan putih. Jelas matlamat. Bila tiada atas jalan, kita cuma lihat dari jauh saja. Nak fahami pun tak mungkin. Kerana tak pernah merasai. Kasut pun belum berdebu lagi.

Aku pernah ditanya ayah sewaktu berumur 15 tahun di dalam kereta, saat itu aku bersembang dengannya mengenai Ikhwan ;

Papa : Apa yang kamu fahami dengan dakwah Ikhwan ?
Saya : Erm.. diorang buat benda baik la.. macam Usrah.. Katibah dan lain-lain.
Papa : Sebenarnya Ikhwan ini bezanya dengan orang lain adalah ia membawa mesej 'Tarbiyyah' untuk mengembalikan Islam pada tempatnya.

Aku terdiam sebentar.

Saya : Papa ikhwan ke ?

Ayahku tersenyum sinis.

Papa : Hasan Al-Banna kata, Sesiapa yang berpegang dengan fikrah Ikhwan, maka dia adalah dari kalangan Ikhwan.

Kemudian aku senyap dan termenung. Perbualan tamat.

Suatu hari (di Malaysia), aku cuba membelek Fi Zilal Quran (terjemahan Ust Yaacob). Terpaku mataku melihat suatu kenyataan beliau rahimahullah ;

"Yang hanya mampu memahami Islam dengan erti kata sebenar adalah orang yang beramal dalam gerakan islam" - pendek kata 'daie' yang haraki lah yang paling memahami Islam.

Perjalanan hidupku diteruskan. Aku yakin orang yang paling benar caranya memahami Islam adalah Rasulullah s.a.w. Tidak ingatkah ketika Baginda s.a.w berucap ketika baru tiba di Madinah ;

"Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makanan sesama kamu, sambungkanlah ikatan silaturahim, solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, pasti kamu akan masuk syurga dengan sejahtera"

Pesanan ringkas Rasulullah s.a.w menyeru manusia umum untuk mengajak manusia melakukan kebaikan demi kesejahteraan bersama. Itulah dia Islam. Mudah dan senang. Senang diterima, senang difahami. Rasulullah tidak gunakan istilah-istilah berat yang mengusutkan fikiran. Islam itu memang mudah. Caranya adalah fitrah. Semuanya bertepatan dengan ciri-ciri manusia yang sebenar.

Saranan Rasulullah s.a.w tidak perlu debat dan jidal. Tiada siapa mampu lawan saranan Baginda. Memang tiada siapa yang mungkin dapat lawan, kerana fitrah mereka meyakini ketinggian nilai yang dibawa oleh Islam itu sendiri.

Kita boleh melihat kerja daie yang sebenar dalam cara hidup Baginda s.a.w. Baginda banyak mengesani masyarakat. Kisah wanita yahudi yang masuk Islam hanya kerana Baginda s.a.w ziarah sewaktu dia sakit, sedangkan sebelum ini selalu meletakkan najis di hadapan rumah Nabi s.a.w.

Sewaktu Baginda s.a.w berdakwah kepada 6 orang Ansar ketika setahun sebelum Bai'ah Aqabah Pertama, bagaimana Baginda boleh meyakinkan mereka 6 orang untuk bertemu pada tempat yang sama pada tahun depan ? Bukan itu sahaja, bahkan mereka membawa mad'u-mad'u sehingga bilangan kesemuanya 12 orang ? Bayangkan berapa sangatlah ayat Quran yang turun pada ketika itu ? tapi cukup untuk menarik mad'u berbaiah sehidup semati bersama Rasulullah s.a.w dalam Baiah Aqabah Pertama ?

Mus'ab Umair r.a ketika dihantar ke Madinah menjadi duta Rasulullah s.a.w, boleh dikatakan seluruh rumah diketuk untuk sampaikan Islam. Persoalannya, Islam apakah yang disampaikan oleh beliau ? Ketika itu surah-surah yang ada hanyalah surah makkiyah yang berkisar keimanan dan kurang aspek hukum-hakam.

Tidak lain hanyalah kerana beliau (Mus'ab Umair) adalah seorang rijal yang mampu menjadi benih yang subur di tanah gersang. Rijal yang mampu menjadi air kepada api. Rijal yang mengesani masyarakat Madinah dengan peribadi dan akhlak yang mulia. Dengan sebab beliau, Allah menjadikan masyarakat Madinah itu bersedia bahkan merindui untuk bertemu Rasulullah s.a.w pada hijrah Baginda s.a.w.

Dengan pemahaman rijal itulah, Umar Al-Khattab suka menyebutkan dalam suatu atsar beliau ;

"Aku bercita-cita untuk rumah ini dipenuhi dengan rijal-rijal seperti Muaz b. Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Salim hamba Huzaifah untuk aku gunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah"

Bila memahami fiqh Umar, kita akan dapati fikrahnya adalah fikrah Islam yang komprehensif. Menyeru kepada pembentukan rijal aqidah yang mantap dan kental, yang mampu membawa panji Islam dan dakwah sebenar ke seluruh dunia. Dengan rijal yang sodiq (benar) maka Islam akan tersebar dan semuanya selepas itu akan menyusul.

Kesimpulannya, kerja utama daie adalah menjadi dan membentuk rijal dakwah yang kukuh dan mantap, dari segi akhlaqnya, suluknya, tsaqafahnya, ukhuwwahnya, tarbiyahnya dan paling penting sekali adalah amalnya dalam membentuk rijal-rijal menjadi tentera Allah yang setia.

Tarbiyah bukan memberi ilmu semata, tetapi ia adalah proses mengubah manusia.

Kita dapat lihat kerja utama seseorang daie pada kehidupan harian dia dan kesibukan dia.

"Agenda hidup kamu, adalah apa yang menyibukkan kamu"

Orang itu sibuk dengan kerja apa ? Menulis blog siang malam ? Tidur ? Bercerita-cerita mengenai sejarah-sejarah lama yang entah betul entah tidak ? Mencari-cari kesalahan orang ? Berjidal dengan orang ? Atau mencari dan membina anasir-anasir soleh yang menjadi asbab-asbab kepada kemenangan ?

"Jika kamu mendapati seorang rajul soleh, maka kamu akan mendapati asbab-asbab kemenangan semuanya"

Kalau direnungi wajibat akh muslim (risalah taalim) dan 10 sifat fard muslim sejati (risalah ila syabab), semuanya berkisar kehidupan harian mereka. Itulah diri mereka. Itulah diari mereka.

Mereka rabbani dengan rutin harian yang tersusun dan kesibukan yang terpandu. Isu utama mereka bukan terikut-ikut rentak arus masakini tetapi isu utama mereka adalah kembalikan manusia kepada Islam yang syumul dan Iman yang mantap dengan cara Rasulullah s.a.w, untuk menyelamatkan manusia menuju ta'abbud alamiy (Taabud Seluruh Dunia) dengan memberikan Hakimiyyah (kuasa undang-undang) kepada Allah semata-mata.

Jangan risau akhi fillah. Kemenangan itu pasti datang.

"Demi Allah, Allah pasti akan menyempurnakan urusan agama ini, sehinggalah seorang pengembara berjalan dari San'a ke Hadramaut, tidak takut melainkan Allah dan serigala di tengah jalan (atau dalam riwayaat lain, takut tersesat jalan)". - hadith (Au kama Qal alaihissolatu wassalam)

Jangan kita suka tuduh orang tanpa bukti mengatakan kemenangan Islam itu lambat kerana setengah-setengah pihak yang memecah belah dan sebagainya. Yang pasti penyebab lambat datang kemenangan adalah kerana umat Islam belum berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam yang sebenar.

Teringat satu kata-kata ;

"Sesaat kelalaian daie, akan menyebabkan bertahun-tahun lambatnya kemenangan Islam"

Jangan terlalu fikir sudut teknikal sangat. Asal orang semua masuk kumpulan kita sudah pasti makin cepat kemenangan datang. Mana dalilnya dan mana buktinya kalau dakwaan itu benar ? Kemenangan akan datang jika Allah mahukan, dan ia akan datang dengan iman yang mantap, dan bila Allah rasakan ia sesuai datang pada waktunya.

"Iman yang mendalam, Pembentukan yang teliti, dan Amal yang berterusan".

Apakah ukuran kemenangan kita ? Kita dikira berjaya jika mampu mengubah muslim yang tidak mahu solat kepada muslim yang melazimi solat jamaah. Kita dikira berjaya jika mampu menjadikan seorang yang tidak pandai menjaga kalamnya kepada seorang yang lemah lembut tutur katanya. Kita dikira berjaya jika kita melahirkan seorang muslim yang pandai beradab dan menjaga akhlak dengan manusia sekitarnya. Kita dikira berjaya jika kita mampu membangkitkan kesedaran iman dari dalam diri seorang yang alpa dan leka sebelum ini. Itu yang diajar Rasulullah s.a.w, termaktub dalam sirah.

Kerja kita (yang saya fahami) bukan mengukur kemenangan bila akan sampai, tapi kerja kita membina rijal-rijal yang boleh meninggikan kalimah Allah yang sepatutnya diletakkan pada tempat tertinggi.

Yang saya fahami, kita ini mahu melahirkan rijal yang komprehensif yang boleh mengajak manusia ke jalan Allah dengan cara yang syumul dan fitrah. Bukan kita hanya mahu orang itu memperbaiki kelemahan contohnya seperti membaiki bumbung yang retak atau tingkap yang pecah atau seumpamanya. Malah lebih malang lagi bila menyalahkan golongan-golongan yang tidak sealiran dengan kita, dalam masa yang sama kita tidak pun perbaiki bumbung yang rosak atau tingkap yang pecah tersebut. Harap-harap tiada orang seperti itu, saya pun belum pernah jumpa lagi. Nauzubillah min zalik.

Apakah kesibukan kita sebenarnya ?

Mari sama-sama cek diri masing-masing. Moga-moga Allah menggolongkan kita dalam golongan Syuhada' dan Para anbiya' di Firdaus Al-A'la. Ameen. Wallahua'lam.

p/s : maaf tulisan ini kurang 'ilmiah', tapi ia sekadar perkongsian pengalaman dan apa yang saya fahami, setakat ini, dalam jalan ini. Jika ada komen silakan. Syukran.

Wassalam.