Monday, August 9, 2010

Basyariyatud Dakwah



Salam.

Sudah berbulan tak post di blog ini. Moga-moga Allah merahmati kita semua.

--

Bila kita menyebut yang kita adalah pendakwah di jalan Allah, jangan sekali-kali kita lupa bahawa kita adalah manusia.

Hakikat kita sebagai manusia tetap tidak akan berubah, walaupun kita sudah berjalan di atas jalan ini puluhan tahun. Dalam kita mengecapi nikmat dalam hidup yang dipenuhi tarbiyah dan iman, kita sepatutnya tidak mencuaikan hakikat ini, bahawa pendakwah adalah manusia biasa, seperti manusia yang lain, yang bezanya hanyalah mereka ini pemikul risalah.

Dalam surah Al-Kahfi ;

"Katakanlah wahai Muhammad ; sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, dan aku telah diberi wahyu bahawa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan yang satu, maka barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia beramal soleh dan tidak mensyirikkan-Nya sedikit pun"

Memahami hakikat dakwah yang Rabbani, dakwah yang Syumul, dakwah yang Alami, ia seharusnya dilengkapkan dengan nilai manusiawi, baru kita boleh betul-betul faham bahawa dakwah itu dibawa oleh manusia, dan ditegakkan dengan usaha manusia. 

Aspek Basyariyatud Dakwah merupakan satu aspek yang tidak kurang pentingnya untuk kita selami dan hayati berbanding Izzatud Dakwah, Halawatud Dakwah dan Rabbaniatud Dakwah. Dengan pemahaman yang begitu, akhirnya kita tahu sesuatu hakikat yang sangat penting iaitu ;

Dakwah ini akan mengajar kita bagaimana menjadi manusia yang sejati. Bagaimana hakikat sebenarnya erti kemanusiaan. Bagaimana hakikat sebenarnya kehidupan sebagai seorang manusia.

Manusia perlukan identiti, perlukan keturunan, perlukan keluarga, perlukan makanan dan minuman, perlukan komuniti, perlukan kasih-sayang, perlukan belaian, perlukan kebersamaan dan macam-macam lagi keperluan yang tidak terkata. 

Bila dakwah datang menyinari hidup mereka, ia tidak menghapuskan sedikitpun keperluan mereka dan identiti mereka, sebaliknya dakwah akan menjadikan hidup mereka lebih 'hidup' dan kemanusiaan mereka lebih 'manusia'. Tidakkah kita pernah terbaca surah Al-Anfaal ;

"Wahai orang-orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan Rasul-Nya ketika dia menyerumu kepada apa yang menghidupkan kamu (Islam)"

Dalam surah Al-An'am ;

"Adakah seorang yang mati kemudian Kami hidupkan dia dan berikan dia cahaya untuk dia berjalan dengannya di sekeliling manusia, boleh disamakan dengan seorang berjalan dalam kegelapan yang tiada jalan keluar daripadanya ?"

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menunjukkan sebenarnya Islam itulah yang menghidupkan seseorang manusia, dakwah itulah yang menjadikan manusia itu hidup. Kenapa saya samakan Islam dengan dakwah ? Ini kerana dalam kamus daie ; Tiada Islam tanpa dakwah, dan tiada dakwah tanpa Islam. 

Memahami hakikat Basyariyatud Dakwah, ia akan menjadikan kita sentiasa berlapang dada dengan ahli-ahli jemaah dakwah yang sekali dengan kita. Ada orang mula mengenali dakwah dengan sifat dakwah yang sangat agung, lantas dirinya tertarik dan mahu bergabung dengan gerakan dakwah tersebut.

Tapi setelah dia memerhati dalam dua atau tiga tahun gelagat beberapa ahli-ahli yang telah bergabung dengannya, dia mungkin merasa terkilan dan malas serta seolah-olah tertipu. Ini kerana dia belum matang lagi dalam menilai sifat dakwah itu sendiri. Dia mungkin-mungkin sudah memahami hakikat Adzomatud Dakwah, yang dengannya menjadikan dia kagum dan takjub dengan dakwah yang telah menariknya. Namun, sebenarnya dia belum benar-benar memahami dakwah ini dari sudut sifat Basyariyah.

Dakwah yang tidak basyariy bukanlah dakwah Islamiah yang sebenar.

Nabi s.a.w tidak boleh melihat muka Wahsyi walapun sudah masuk Islam kerana baginda adalah manusia.

Umar r.a telah tersilap keluarkan fatwanya yang menetapkan mahar bagi wanita juga, kerana dirinya adalah manusia.

Setiap pemikul dakwah adalah manusia biasa, yang membezakan mereka dengan manusia lain adalah kerana mereka ini serius dalam memikul risalah. Mereka adalah orang yang merdeka, tidak menuntut kepentingan duniawi. Islam ini terlalu agung bagi mereka sehinggakan dunia mereka terasa tidak bernilai untuk dikorbankan pada jalannya.

Ini merupakan satu pesanan ringkas kepada pendakwah yang ingin memulakan jalannya bersama jemaah dakwah yang serius. Mereka tidak harus cepat mengecop peribadi-peribadi dan mengatakan 'enta tak serupa bikin' dan sebagainya, bahkan mereka sebenarnya perlu lebih lama lagi dalam dakwah ini untuk menilai perbuatan beberapa kerat ahli jemaah yang mungkin dirasakan tidak patut dan sebagainya. 

Ketidakfahaman hakikat ini akan menjadikan seorang akh itu mungkin futur, atau lebih teruk lagi mungkin keluar daripada kelompok dakwah ini, kerana merasakan kekurangan dan serba kurang pada beberapa ahli dalam kelompok itu.

Ia bukan satu mesej bahawa yang senior tidak boleh ditegur dan yang junior hanya patuh, tidak sama sekali. Jemaah dakwah ini terlalu suci untuk itu. Tapi ia hanya membawa satu sudut pandangan yang jarang-jarang disedari oleh pendakwah yang baru memulakan langkahnya, untuk menjadi insan yang serius.

Maka, fahamilah ia. Dengan kefahaman itu baru kita mampu meningkat, baru kita mampu melonjak, baru kita mampu berlari, baru kita mampu untuk terus hidup bersamanya. Mana mungkin kita mampu buat kesemuanya jika dakwah bersifat malakiy (malaikat) yang tidak pernah salah dan tidak pernah bernafsu ??

Wallahua'lam.

Friday, May 14, 2010

Izzatud Dakwah


Salam.

Allah berfirman :

"Barangsiapa yang mahukan izzah (kemuliaan) maka segala kemuliaan itu adalah di sisi Allah" - Surah Fatir

Allah s.w.t Maha Agung. Segala yang disandarkan padanya adalah perkara yang agung.
Dakwah Allah sangat agung kerana nilainya dalam hidup alam semesta ini tidak terkira, ia boleh dikatakan nyawa kepada alam ini. Ini kerana ia adalah tujuan penciptaan manusia, penurunan Al-Quran dan penciptaan alam semesta ini.

Seseorang yang menyandarkan dirinya kepada dakwah, ia bererti menyandarkan dirinya pada sesuatu yang paling mulia. Oleh kerana itulah mereka yang mewaqafkan diri untuk dakwah Allah ini akan terus kekal, disebut-sebut sehingga ditulis dalam kitab yang paling mulia, iaitu Al-Quran Al-Karim.

Para anbiya' dan salafussoleh ketika mewaqafkan diri mereka dengan dakwah ini, mereka tidak berniat / tidak menyangka mereka ini akan dikenang sepanjang zaman, tetapi Allah telah mengangkat nilai mereka yang tinggi, sehingga mengabadikan nama-nama insan terpilih itu dalam kitab-Nya, dan menggerakkan jari-jemari para penulis sejarah sahabat untuk mencatat segala riwayat hidup, generasi-generasi dakwah yang agung ini.

Diri mereka hancur lebur, dek kerana kemuliaan dakwah ini. Mereka meletakkan dakwah di hadapannya, maka segalanya pasti menjadi remeh dan mudah di sisinya. Seperti kata-kata pepatah Arab :

" من عرف قيمة ما يطلب هان عليه مقدار ما يبذل "
- barangsiapa yang mengetahui betapa besarnya nilai barang yang diminta, sudah pasti ringanlah baginya segala apa yang dikorbankan -

Orang begini Allah akan naikkan martabatnya, di sisi manusia, dan seluruh alam semesta, serta yang paling hebat adalah di sisi-Nya.

--

Dalam kehidupan seharian kita, kadang-kadang kita mencari sebuah kemuliaan.
Lantas kita mencari kemuliaan berbentuk kemasyhuran di sisi manusia, material, berbentuk intelektual, berbentuk fizikal, dan apa-apa bentuk lagi yang zahir-zahir.

Kita semua adalah makhluk yang mulia. Tetapi kemuliaan kita ada darjatnya. Buktinya Allah menyebut orang yang paling mulia adalah orang yang bertaqwa.

Bila kita mencari jenis-jenis kemuliaan yang disebut, maka satu pun daripadanya tidak mampu membawa kita kepada taqwa. Ini adalah kerana taqwa itu sebenarnya kita membina dinding di antara diri kita dan maksiat. Semakin tinggi dinding tersebut, maka semakin susah untuk kita ke seberang maksiat, lantas makin tinggi nilai taqwa kita.

Segala yang disebutkan tadi itu langsung tidak mampu membawa kita ke arah kemuliaan yang paling tinggi. Bahkan ia hanya kemuliaan di sisi manusia, dan di sisi Allah nilainya tiada.

Maka di sini bila kita merenung ayat-ayat Allah seperti yang disebut di atas, maka kita mengetahui bahawa kemuliaan sebenar yang patut kita cari, adalah kemuliaan yang membawa kita makin rapat kepadanya. Maka ia tidak lain dan tidak bukan, adalah kemuliaan dakwah Allah itu sendiri.

Bila sang daie meletakkan di hadapan matanya, di hadapan segala amalnya, di hadapan segala pertimbangannya, mahu memuliakan dakwah Allah, maka pada ketika itulah Allah akan memuliakannya, dan meletakkannya di hadapan saf-saf para mujahidin yang telah mewakafkan diri mereka, hanya kerana mahu dakwah Allah itu terus mulia.

Ini berlaku dalam sejarah. Sejarah telah memuliakan generasi sahabat, kerana mereka membawa kemuliaan dakwah ke seluruh alam. Lantas mereka menjadi generasi yang paling tsiqah sehinggakan riwayat hidup mereka dinilai satu-satu kerana boleh dibuat contoh dan dalil bagi orang-orang yang selepas mereka.

Kehidupan mereka sebelum mendapat keizzahan dakwah itu penuh dengan jahiliyyah yang sangat dahsyat. Tetapi seperti mana Allah telah menggantikan kegelapan malam dengan cahaya mentari pada waktu siang, seperti itulah Allah memuliakan mereka dengan cahaya dakwah, yang telah membawa rahmat 'kemuliaan' (izzah) kepada seluruh alam.

Oleh kerana kemuliaan ini sungguh tinggi, maka dengan itulah Umar Al-Khattab r.a menyebut kalimah yang masyhur :

"Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam, jika kita cari selainnya maka Allah akan hinakan kita".

Ini kerana umat Islam adalah umat dakwah. Mereka mulia kerana amanah dakwah yang telah diamanahkan kepada mereka. Jika mereka meninggalkan dakwah, maka Allah pasti akan menggantikannya dengan umat yang lain, kerana mereka ini sudah tak layak memikul amanah ini.
Mereka dahulunya ketika merasakan kemuliaan ini, mereka mencari sebanyak mungkin ruang agar dakwah itu mulia di segenap pelusuk dunia. Diri mereka menerjah seluruh dunia agar dakwah itu subur dan kemuliaannya terkembang ke seluruh umat. Diri mereka adalah dakwah yang mulia. Dengan diri mereka dakwah itu mulia.

Mereka tidak memahami bahasa-bahasa picisan kerana himmah (kehendak) mereka melepasi segala ketinggian alam semesta dan bersambung terus kepada Tuhan Arasy. Mata dan kepala mereka sering mendongak ke langit, menandakan jiwanya sentiasa terpaut pada Tuhan Yang Maha Tinggi, sepertimana terpautnya jiwa Kekasih s.a.w ketika menunggu wahyu penentuan qiblat daripada Allah.

"Sesungguhnya Kami telah melihat pandanganmu yang berulang-ulang ke arah langit, maka dengan itu Kami akan mengarahkan agar kamu menghadap kepada qiblat yang kau redha, maka palingkanlah mukamu ke Masjidil Haram" - Surah Al-Baqarah

Jika kita ingin mulia, ambillah kemuliaan yang sebenar di sisi Allah. Padanya ada segala kemuliaan, tinggikan himmah kita hingga mencapai kepada matlamat yang paling agung iaitu tersebarnya dakwah ini dan menjadikan dakwah ini dimuliakan di seluruh dunia.

Ajarlah generasi kita erti kemuliaan ini, didiklah mereka dengan erti kemuliaan ini seperti mana Allah mendidik Musa a.s dengan firmannya :

"Kami berkata : Janganlah takut, sesungguhnya engkau (wahai Musa) lebih tinggi (daripada mereka itu - firaun dan ahli sihirnya)" - surah Taha

Musa pada ketika itu tiada langsung kemuliaan duniawi untuk mengalahkan Firaun dan pengikutnya, tetapi dirinya yang membawa risalah itu sudah cukup untuk Allah memuliakan dirinya di hadapan semua manusia yang hadir menyaksikan pertembungan antara tipu daya sihir dan juga mukjizat Musa a.s.

Pada ketika Allah menzahirkan kemuliaan dakwah kepada manusia, segala kemuliaan duniawi itu akan mencari pembawa-pembawa dakwah yang sangat agung ini. Seperti mana orang-orang yang sesat di tengah hutan akan mencari-cari cahaya yang boleh menunjukkan jalan di tengah malam yang gelap gelita.

Ia dapat ditunjukkan dalam kisah Musa a.s ini, ahli-ahli sihir itu lantas terus bersujud kepada Allah dan memeluk Islam. Tidakkah itu satu kemuliaan duniawi (dengan sujudnya orang yang hebat dan masyhur di sisi kaum Firaun, tetapi lantas menyokong risalah Musa a.s) setelah kemuliaan dakwah terzahir ???

Letakkanlah kemuliaan dakwah di hadapan diri kita, nescaya segala yang kita lakukan akan menjadi mulia, tidak kira ia adalah study, bekerja, menolong ibubapa, mengajar, berjalan ke masjid dan sebagainya. Pohonlah agar Allah sentiasa muliakan kita dengan dakwah, dan memuliakan dakwah dengan diri kita.

Ingatlah orang terdahulu dirinya layak digelar syuhada' dan perintis jalan ini kerana diri mereka sentiasa terbakar dengan rasa izzah dakwah, bukan izzah jahiliyyah. Mereka sentiasa menghayati firman Allah :

"Adakah mereka (orang munafiq) menyangka di sisi mereka itu ada 'izzah', sesungguhnya 'izzah' itu segalanya adalah pada Allah" - Surah An-Nisa'
Himmah mereka yang membuak-buak membuatkan diri mereka sentiasa bertaharruk, mencari segala ruang agar obor-obor kemuliaan dakwah ini dapat dinyalakan dan menyelamatkan seberapa ramai mungkin manusia daripada jahiliyyah.

Himmah mereka untuk menyelamatkan manusia seperti kata-kata Isa a.s apabila tiba di suatu kampung :

"Tunjukkan padaku manakah lelaki yang paling jahat di sini?"

Lantas teman rapatnya Yahya a.s yang ketika itu bersamanya bertanya :
"Mengapa kau mahu lelaki yang paling jahat ?"

Lantas Isa a.s menjawap : "Kerana aku ingin mengubatinya"

Akhirnya dengan izzatud dakwah ini, ia akan menjadikan kita seperti mana ia telah menolak orang-orang sebelum kita untuk tunaikan amanah yang penuh sarat dengan cubaan dan ujian, namun himmah mereka yang kuat telah menjadikan istiqamah sebagai jalan yang paling dicintai, kerana mereka memahami ..

Bilamana mereka meminta agar ditunjukkan jalan yang lurus ; (اهدنا الصراط المستقيم)

Jalan yang lurus bermaksud jarak yang paling dekat di antara dua titik seperti yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim dalam Madarij Salikin. Maka oleh kerana itu, istiqamah itu bermaksud kelurusan dan dekatnya ia pada tujuan (ghayah) iaitu Allah.

Dengan itu, mereka memahami bahawa hakikat istiqamah itu adalah pada dekatnya ia dengan Allah, dan bererti taqarrub. Lantas mereka dengan himmah yang tinggi itu sentiasa memohon agar sentiasa rapat dengan Allah ... melalui jalan orang-orang yang istiqamah.

Maka benarlah kata-kata Allah :

"Dan bagi Allah segala kemuliaan, dan juga Rasul-Nya, dan para mukminin tetapi orang yang munafiq tidak mengetahuinya" - Surah Munafiqun

Wallahua'lam.

Sunday, March 14, 2010

Halawatud Dakwah


Salam.

Sudah lama tak post di blog ini. Mahu menghangatkan kembali roh-roh duat di luar sana, namun jiwa ini masih tidak cukup bahan bakar lagi. InsyaAllah, moga dipermudah.

--

Saya terkadang berfikir :

Bagaimana Rasulullah s.a.w boleh terus menerus berdakwah ? Bagaimana para sahabat r.a boleh terus menerus berdakwah tanpa jemu ? Berhijrah tinggalkan segala harta-benda di Mekkah ? Bagaimana seorang sahabat sanggup diseksa hanya kerana tak mahu Muhammad s.a.w dicela ? Bagaimana seorang sahabat mampu dihantar ke Yatsrib dan mengetuk pintu semua rumah di sana dan menyampaikan Islam ?

Saya rasa jawapannya di sisi setiap orang berbeza-beza. Masing-masing mengikut kefahaman dakwahnya, pengalaman dalam tarbiyahnya, pembacaan bukunya, dan banyak lagi aspek yang dipertimbangkan, keluarga, persekitaran dan sebagainya.

Satu perkara yang ada pada kesemua jawapan dalam diri masing-masing ;

Mereka merasakan kelazatan dakwah, yang lebih daripada kelazatan perut dan syahwat.

Apa lagi yang kita mahukan dalam hidup ini melainkan sesebuah kelazatan ?

Seorang biasa akan rasa lazatnya makanan pada waktu lapar, dan puas bila dapat barang-barang yang diingininya sebelum ini. Dia akan senang bila semua orang senang hati padanya. Dia akan lega bila tiada orang marah padanya. Pening kepalanya hilang bila urusan anak-anaknya selesai dan isterinya tidak berleter dan banyak cakap .. dan sebagainya.

Namun kamus daie itu berlainan. Kelazatan dakwah itu melebihi kesemuanya. Rohnya yang bersebati dengan dakwah tidak mampu tenang melainkan jika hak dakwah itu ditunaikan. Hari-harinya tidak tenang tanpa ada agenda dakwah dalam hidupnya, biarlah walau sekecil ziarah mad'u walau seminit-dua bertanya khabar, ia sudah cukup baginya merasakan kelazatan dakwah walaupun belum memadai sebenarnya.

'Nafsu dakwah' tidak akan puas selagimana matlamatnya belum tercapai iaitu bertemu Tuhannya.

Daie yang jiwanya larut dalam dakwah akan rasa sepertimana Ibrahim a.s, ketikamana Allah s.w.t mewahyukan kepada beliau agar meninggalkan Siti Hajar di tengah-tengah padang pasir ketika itu. Dengan itu daie boleh merasakan betapa lazatnya dakwah ketika memilih urusan Allah berbanding segalanya, yang akhirnya kesan kelazatan itu terasa hingga kini kerana kisah tersebut menjadi teladan duat sepanjang zaman terhadap segala sifat yang patut ada pada sang pemikul dakwah.

Sang daie yang hatinya hancur luluh demi dakwah akan rasa seperti Nuh a.s, tikamana beliau merasakan lazatnya dakwah setelah bersedih mengenangkan anaknya dan isterinya yang tidak turut serta dalam dakwahnya. Namun kelazatan itu juga turut dirasai oleh orang-orang selepasnya yang mengambil kisah Nuh a.s sebagai lagenda Sang Penyabar yang sangat memotivasi duat hari ini.

Daie yang benar-benar merasai kelazatan dakwah akan hidup sepertimana Rasulullah s.a.w hidup. Jiwanya berlegar di sekitar projek islah umat, penerusan risalah, dan menghidupkan roh-roh yang sedang terlelap lena. Dengan itu daie boleh rasa bagaimana lazatnya dakwah Nabi s.a.w ketika dibaling batu di Taif penuh dengan darah-darah saksi baginda s.a.w dan Zaid b. Haritsah sebagai bukti keseriusan baginda s.a.w terhadap agenda yang sangat besar ini.

Imam Hasan Al-Banna pernah menyebut ;

"Tiada perkara yang lebih aku suka lakukan pada setiap malam melainkan aku mengajarkan mengenai Islam di rumah-rumah orang" (Mafhum kata-kata beliau dalam sesebuah buku yang saya pun terlupa apa tajuknya).

Itulah kelazatan dakwah, yang terkandung dalamnya cinta Allah, cinta hakiki yang menjadi penentu segalanya. Duat memahami mereka melakukan semuanya hanya kerana taabbudnya dan hubbnya mereka kepada Pencipta mereka, yang menciptakan kelazatan yang paling agung ini.

Merekalah roh, yang menembusi segala institusi, segala aspek teknikal, segalanya. Mereka enggan menjadi bahagian-bahagian lain seperti tangan, kaki, kepala, hatta tulang belakang sekalipun. Mereka mahu menjadi bahagian 'roh' yang paling penting, membezakan antara hidup dan matinya seseorang manusia. Ia seperti yang dikatakan oleh seseorang ;

"Kita ini adalah fikrah , bukanlah sekadar institusi, fikrah ini sangat luas dan sangat penting, lebih luas daripada langit dan dunia, kerana ia adalah roh daripada urusan Allah, kita tidak layak untuk mengecilkan saiznya (peranannya kepada aspek-aspek tertentu sahaja)" - Tazkirah Duah, Ust Al-Bahiyy Al-Khuliy.

Para duat hakiki memahami hakikat ini dengan amal dan kerja-kerja mereka, perancangan dakwah mereka, doa-doa dan air mata mereka, duit-duit mereka yang habis dan waktu-waktu mereka yang terluang di dalam arena cinta hakiki ini.

Dengan kelazatan ini, duat mampu mati sepertimana matinya para syuhada' di kalangan sahabat, tabiin, dan salafussoleh serta yang mengikuti jejak langkah mereka, dengan berkongsi kelazatan-kelazatan dakwah yang berkesinambungan, berantai, dan pelbagai. Matinya mereka dengan penuh kerinduan dan kelazatan hakiki, dan akhirnya nafsu dakwah mereka puas dengan lepasnya rindu mereka kepada Allah s.w.t, Pencipta segala yang mereka rindukan.

Namun, ia tidak disedari oleh ramai orang yang tidak pandai membaca 'kamus-kamus buruk' ini. Ini kerana mereka sendiri tidak tahu membaca kamus, bahkan kehendak dirinya sendiri pun tidak mahu !

"Sesungguhnya pada setiap (kisah yang diceritakan dalam Al-Quran) itu ada petunjuk, tetapi kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu itu Maha Kuasa lagi Maha Penyayang" - Surah Asy-Syu'araa'

Jom baca & cinta & hayati kamus buruk !

Wallahua'lam.

Thursday, February 4, 2010

Ia adalah Ruh


Salam.
Benarlah para Rasul dan Nabi,
Benarlah Rasulullah s.a.w,
Benarlah para Sahabat r.a,
Benarlah para salafussoleh,
Benarlah para tabieen,
Benarlah para imam-imam,
Benarlah para mujahidin,

Benarlah,
Mereka yang telah melakar perjuangan yang mulia ini dengan titik peluh, darah, untaian syair yang indah. Kisah-kisah teladan yang sangat menggugah jiwa.

Bila ku teliti mereka...
Kurang kalamnya, banyak amalnya .. kenapa ?

Kerana kebanyakan manusia (objek dakwah) telinganya tertutup namun matanya sentiasa terbuka.

Telinganya tertutup kerana sukar memahami hakikat perjuangan, matanya terbuka kerana sentiasa mencari kesalahan orang lain.

Lantas aku sedari bahawa sunnah perjuangan adalah pada amalan dan kesungguhan. Bukan pada kata-kata kosong dan omongan.

Sunnah perjuangan adalah, menggerakkan manusia dengan ruh yang hidup. Bukan dengan selainnya.

------
Oh alangkah indahnya,
Jalan yang sunyi, namun dipenuhi peluh-peluh dan darah suci mujahidin ...
Aku ingin menancap darah mereka, lantas aku letakkan pada bajuku sebagai minyak wangi ...
Lalu aku tumpas syahid (insyaAllah) dengan darah mereka, bercampur baur dengan darahku ..

Agar orang selepasku dapat menikmati minyak wangi darah syuhada', yang begitu menyanjungi orang-orang yang telah pergi sebelumnya.
------

Roh yang membakar ini tidak mampu memberi kefahaman yang mantap dengan hanya kata-kata. Ia perlukan bantuan waktu, tenaga, dan segala kecukupan bahan bakar, untuk membakar ruh insan lain, sepertimana ia dibakar suatu masa dahulu.

Kini jiwa umat kehilangan ruh. Yang tinggal hanya tubuh. Ruh itu tidak dapat dirasai dengan hakikatnya, tapi dapat dirasai dengan kesan-kesannya. Jika kesan-kesan yang ada pun tidak seperti sepatutnya, itu tandanya ruh sudah mati.

Bila ruh sudah tiada, cakap apa pun tak guna. Hanya tinggal mayat hidup yang biasa. Ia perlu dibakar, dibangkitkan semula, lantas ruh itu sedar dan bangun dari tidur.

Bangun dari mimpi indah, lamunan yang menyenyakkan.

Ia perlu digugah dengan siraman air Iman, diusap dengan sentuhan Fikrah, lantas didakap dengan pelukan Amal, dan ditarik dengan tarikan Harakah, sambil berlari-lari menyusun langkah Tarbiyah, menyelamatkan manusia melalui jalan-jalan Wasilah, menuju akhirnya keluar daripada Dholalah menuju Ghayah.

Itulah usaha membangkitkan ruh manusia. Tidak mudah seperti yang dikata.
Bukan saja tidak mudah dikata, difikirkan pun bukan jadi sebegitu rupa.

Ia hanya mampu difahami, oleh orang yang pandai dan suka baca kamus-kamus perjuangan orang lama.

Ya Allah jadikan aku daripada mereka.
Wallahua'lam.
Wassalam.

Sunday, November 22, 2009

Harakiyatus Syakhsiah


Salam.
Semoga semua sihat dan baik.

Sifat harakah dalam peribadi (seseorang daie)

Seseorang yang bergerak (haraki) tidak banyak berkata-kata. Dia mengajar dakwah dan menjalankan usaha dakwah dengan gerak-gerinya dan cara dia hidup dengan risalah. Dia berpegang dengan kata-kata hukama' :

ما ادعى أحد قظ إلا لخلوه عن الحقائق ، لأنه لو تحقق لأخبرت به الحقيقة وأغنته عن الدعوى

"Seseorang itu tidak sekali-kali mendakwa mengenai dirinya, melainkan dakwaan itu tiada padanya. Kerana sesungguhnya jika dakwaan itu benar, hakikat (realiti) sudah pasti akan memberitahu, dan dia tidak perlu untuk membuat dakwaan tersebut"

-dipetik daripada tulisan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, Al-Masaar.

Pemahaman haraki agak sukar difahami pada zaman permulaan mengenal dakwah. Ini kerana fasa permulaan dakwah dipenuhi dengan kelembutan, kasih sayang, belaian, dan segala macam nikmat-nikmat kemanusiaan.

Bila daie sudah tiba pada suatu peringkat, mereka barulah boleh memahami kepentingan 'harakah' dalam peribadi mereka. Secara mudahnya untuk diterangkan, peribadi haraki boleh dilihat dalam sejarah para Anbiya' solawatullahi alaihim wasalaamuh, serta para pengikut mereka.

Dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s ;
- beliau berhijrah dari Iraq ke Baitul Maqdis
- pernah ke Mekkah dan meninggalkan Saidatina Hajar r.a serta Ismail a.s, serta membina ka'abah di sana.
- menghancurkan berhala-berhala kaumnya

Dalam sejarah Nabi Nuh a.s ;
- menggunakan segala macam cara untuk berdakwah (boleh rujuk surah Nuh, juzuk 29)
- manhaj yang digunakan (Aqli dan Atifi - IQ dan EQ) (SQ sudah tentu sebab beliau adalah Nabi)
- do'anya yang sangat kerap dan perasaan yang halus dalam berdoa (sila rujuk Fi Zilal berkenaan surah Nuh)

Dalam sejarah Nabi Muhammad s.a.w ;
- baginda s.a.w pernah ke Taif kerana orang Makkah menolak dakwahnya
- berhijrah ke Madinah
- menghantar utusan-utusan kepada kerajaan luar Arab, seperti Rom, Parsi, Mesir Qibti dan sebagainya.

Dalam sejarah para sahabat ridhwanullahi alaihim ajma'in ;
- kebanyakan sahabat tidak meninggal dunia di Madinah (Baqi') walaupun bilangan mereka mencecah 125 ribu orang ketika Haji Wida'
- pada zaman Saidinia Umar r.a, Baitul Maqdis berjaya dibebaskan buat kali pertama oleh umat Islam
- mulanya pengumpulan Al-Quran sehingga berjaya dibukukan
- dan sebagainya.

Daie (yang saya fahami) memandang sejarah-sejarah as-sabiqiyyah (mereka yang telah lalu) dengan kacamata harakah, yakni mereka memandang dari sudut 'tindakan' yang memberi kesan kepada dakwah. Mungkin anda merasakan perkara ini biasa didengar dan dihuraikan. Tapi sebenarnya yang bernilai padanya adalah pada nilai 'haraki' yang menjadi natijah bagi tindakan-tindakan mereka.

Ini hanya yang mampu dicatat sejarah, banyak lagi yang kita pun tak mampu nak fikir macam mana mereka boleh kembangkan Islam.

Dengan pemahaman 'haraki' ini, kita mampu memahami bagaimana mereka boleh mewariskan dakwah Islam dengan sempurna dan tulen tanpa tokok tambah sehingga hari ini.

Dirinya adalah dakwah yang mekar. Dengan dirinya seorang, dakwah mampu hidup dan Islam mampu berkembang. Dia melahirkan rijal-rijal dakwah yang mendokong misi Rasulullah s.a.w.

Daie itu yakin bahawa Dakwah bukan hanya kata-kata yang manis yang boleh menarik manusia, bukan hanya janji-janji, bukan hanya jawatan-jawatan, bukan juga 'Qarar-Qarar' (ketetapan-ketetapan) yang rigid dan tidak membawa kepada tujuan dakwah, bukan juga syar'iyah (mandat) yang diperoleh, dan juga bukan angan-angan Mat Jenin.

Baginya (yang saya fahami), Dakwah itu adalah suatu seruan ke arah kebangkitan umat manusia sejagat, ia seruan yang 'real'. Ia suatu usaha manusia yang menyeluruh dan komprehensif, memerlukan segalanya yang ada pada manusia (harta, jiwa, emosi, waktu), bukan hanya mulut yang berkata, tapi kaki yang melangkah, tangan yang memberi, pandangan yang tajam dan terbuka, jiwa yang besar, akal yang panjang, diri yang rajin, dan peribadi yang serius (dalam melaksanakan tuntutan ini), semuanya untuk menuju Allah dengan cara yang paling benar dan paling tepat.

Ia suatu tuntutan jangka masa panjang, dan mencakup semua umat manusia di muka bumi ini. Bukan hanya di Mesir sahaja, bukan juga di Malaysia sahaja, bahkan di seluruh pelosok bumi ini, dakwah yang benar akan tersebar. Pasti.

Dakwaan-dakwaan picisan yang murahan ini tiada manfaat dan tiada nilai dalam kacamata daie. Ia hanyalah ibarat gerimis pagi yang menyedapkan tidur kebanyakan orang, tetapi menjadi penceria dan penghibur bagi sang daie yang memilih waktu itu sebagai mustajabnya doa. Tetapi sayangnya tidak ramai yang mengetahuinya.

Dengan pemahaman ini, baru daie mampu mengetahui kepentingan 'keberadaan' dan 'muayasyah' (bergaul) bersama para manusia. Beginilah baru daie memahami hadis Nabi s.a.w ;

"Mukmin yang bergaul dengan manusia dan sabar dengan kerenah/kesakitan daripada mereka, lebih baik daripada mukmin yang tidak bergaul dengan manusia, dan tidak mampu sabar dengan kerenah mereka"

Dengan ini baru daie memahami betapa besarnya tugas 'mengesani manusia' dengan akhlak dan qudwah. Betapa besarnya perkara-perkara kecil seperti memberi hadiah, berziarah, mengerat silaturrahim. Betapa besarnya keep-in-touch, follow-up dan bertanya khabar. Betapa besarnya mengajak orang ke rumah untuk makan, belanja orang, dan sebagainya.

Ini bukan ajaran baru. Tetapi ini adalah pandangan dakwah yang telah diajar oleh Nabi s.a.w. Seperti kata salah seorang doktor saya di kuliah, namanya Dr Yasir Hammudah ;

إن التفسير الحقيقي للقرآن الكريم ، أن تكون قرآنا يمشي على الأرض
Sesungguhnya tafsir yang sebenar bagi Al-Quranul Karim adalah, engkau menjadi Quran yang berjalan di atas muka bumi ini.

Ini kerana Nabi s.a.w adalah Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi ini seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. Maka jika mahu menjadi daie yang benar, rujuklah bagaimana caranya Rasulullah s.a.w berdakwah, mengesani manusia, memulakan cara dan merancang strategi, bermuamalah dengan manusia dan sebagainya.

Akhirnya, barulah daie itu mampu untuk tidak nampak di hadapan matanya melainkan amal ke arah itu.

Wallahua'lam.
wassalam.

Tanta
22 November 2009.

Thursday, August 6, 2009

Bila diperlihat dengan hakikat


Bila diri ini terasa sebuah hakikat..
Jalan yang penuh duri-duri yang tersirat..
Tidak hanya dengan mata kasar yang melihat..
Tapi dengan jiwa yang kering dengan iman yang selalu menasihat..

Bila diri ini terasa sebuah hakikat..
Rasa takut selalu menghambat..
Bukan kerana takut kerana dugaan dan penat..
Tapi hanya merasai betapa sukarnya mendapat anugerah Tsabat..

Bila diri ini terasa sebuah hakikat..
Pemilihan diri tidak pernah dirasakan hebat..
Sejarah menuntut untuk selalu beringat..
Jangan sekali-kali rasa diri itu hebat..

Bila diri ini terasa sebuah hakikat..
Jiwa resah selalu memikirkan perihal umat..
Lebih resah memikirkan kesanggupan keringat..
Adakah jiwa ini sentiasa mampu untuk kuat ?

Akhirnya,

Fikrah menemui noktah..
Hati sukar mencari faktor basah..
Jiwa mula mencari titik pisah..
Mulut bosan menyebut perihal dakwah..
Diri sudah mula 'lari' dari tarbiyah..
Sosial sudah mula jauh daripada ikhwah..
Telinga jadi lali dengan tazkirah..

Penghujungnya,

Hakikat perjuangan telah lama terbukti,
Tidak ramai yang mampu untuk terus berdiri,
Hanya satu sahaja sebenarnya penyelamat daie,
Yang selamat hanyalah sejenis diri,
Yang melazimi,
Yang memahami,
Yang mendalami,
Yang menjiwai,
Hubungan dengan Pencipta dakwah itu sendiri.

Tanta.
6 Ogos 2009

ألسنا في حاجة شديدة إلى رب الدعوة لأن الدعوة أبدا لن تحتاج إلينا ؟
"Tidakkah kita sangat-sangat berhajat kepada Pencipta dakwah kerana dakwah selamanya tidak akan memerlukan kita?"

Wallahua'lam.

Thursday, July 2, 2009

Kesemulajadian Dakwah


Salam.

Post kali ini saya tulis ringkas khasnya untuk diri sendiri yang lemah. Amnya kepada semua du'at di luar sana, yang telah atau ingin bergabung dengan mana-mana gerakan islah yang sebenar, jelas, dan mampu dengan yakinnya membawa manusia menuju Allah ta'ala.

Dakwah yang benar adalah dakwah yang berlandaskan iman.
Iman dijadikan kayu pengukur dalam peningkatan tarbiyah seseorang dalam jemaah.
Bila iman meningkat, seseorang daie akan secara semula jadinya meningkat dalam tahapan tarbiyahnya. Begitulah juga sebaliknya, vice versa bak kata orang putih.

Ia adalah iman, sebagaimana ia seperti sebuah pokok yang besar. Bila akarnya kuat, pohonnya akan tinggi menjulang. Bila akarnya lemah dan tidak kuat, pohonnya akan mudah tercabut dan tidak mampu meninggi serta mudah rosak.

Kadang-kadang kita selalu menyalahkan manusia yang seringkali tersilap menghitung tahapan tarbiyah kita. Kita memberi alasan dengan situasi-situasi peribadi tertentu menyebabkan kita tidak jadi seperti orang lain. Contohnya, terlewat dalam program atas sebab-sebab teknikal, atau kecemasan. Juga berbagai-bagai la contoh.

Pemerhatian saya setakat ini membuktikan, bahawa jika kita gagal mengawal iman dan meningkatkan ia, Allah akan secara semulajadinya melambatkan kita dalam dakwah. Ia memang benar dan serius, serta menakutkan. Kadang-kadang kita menyalahkan kesihatan, kadang-kadang kita menyalahkan trafik jam, kadang-kadang kita menyalahkan keluarga, kadang-kadang kita menyalahkan peperiksaan dan sebagainya kerana atas sebab-sebab tersebut kita terlewat (contohnya), atau kita tertinggal program atau dan atau-atau yang lain.

Lantas kita menyerlahkan seribu satu alasan dan mengatakan bahawa situasi manusia berlainan, masing-masing ada sebab tersendiri.

Manusia-manusia tarbawi yang menilai memang tidak mampu menjadi adil seadil Allah s.w.t dalam penilaian yang sebenar. Tetapi pada pemerhatian saya setakat ini, Allah s.w.t pasti akan campur tangan dalam urusan dakwah-Nya, dengan apa jua cara sekalipun. Dia akan menjadikan seseorang itu contohnya, demam, atau terlambat, atau apa-apa saja, yang menjadikan dia seolah-olah 'terbantut' dalam dakwah, walau dengan alasan yang masuk akal dan diterima. Itu semua adalah kerja Allah, di luar kemampuan manusia.

Allah sentiasa akan menjaga jemaah dakwah yang berjanji setia mengangkat panji kalimah-Nya serta bersungguh-sungguh berjalan di atas jalan Muhammad s.a.w.

Banyakkan berfikir tentang alam semulajadi, kita pasti akan merasai bahawa kita sebahagian darinya. Banyakkan bertasbih bersama alam semulajadi, kita pasti merasai 'flow' nya dan bergerak bersama aliran fitrah di bawah susunan Ar-Rahman. Jadikan dirimu seorang yang Rabbani, kerana ia adalah satu-satunya penyebab kekalnya dakwah hingga ke hari ini.

Wallahua'lam.