Sunday, March 14, 2010

Halawatud Dakwah


Salam.

Sudah lama tak post di blog ini. Mahu menghangatkan kembali roh-roh duat di luar sana, namun jiwa ini masih tidak cukup bahan bakar lagi. InsyaAllah, moga dipermudah.

--

Saya terkadang berfikir :

Bagaimana Rasulullah s.a.w boleh terus menerus berdakwah ? Bagaimana para sahabat r.a boleh terus menerus berdakwah tanpa jemu ? Berhijrah tinggalkan segala harta-benda di Mekkah ? Bagaimana seorang sahabat sanggup diseksa hanya kerana tak mahu Muhammad s.a.w dicela ? Bagaimana seorang sahabat mampu dihantar ke Yatsrib dan mengetuk pintu semua rumah di sana dan menyampaikan Islam ?

Saya rasa jawapannya di sisi setiap orang berbeza-beza. Masing-masing mengikut kefahaman dakwahnya, pengalaman dalam tarbiyahnya, pembacaan bukunya, dan banyak lagi aspek yang dipertimbangkan, keluarga, persekitaran dan sebagainya.

Satu perkara yang ada pada kesemua jawapan dalam diri masing-masing ;

Mereka merasakan kelazatan dakwah, yang lebih daripada kelazatan perut dan syahwat.

Apa lagi yang kita mahukan dalam hidup ini melainkan sesebuah kelazatan ?

Seorang biasa akan rasa lazatnya makanan pada waktu lapar, dan puas bila dapat barang-barang yang diingininya sebelum ini. Dia akan senang bila semua orang senang hati padanya. Dia akan lega bila tiada orang marah padanya. Pening kepalanya hilang bila urusan anak-anaknya selesai dan isterinya tidak berleter dan banyak cakap .. dan sebagainya.

Namun kamus daie itu berlainan. Kelazatan dakwah itu melebihi kesemuanya. Rohnya yang bersebati dengan dakwah tidak mampu tenang melainkan jika hak dakwah itu ditunaikan. Hari-harinya tidak tenang tanpa ada agenda dakwah dalam hidupnya, biarlah walau sekecil ziarah mad'u walau seminit-dua bertanya khabar, ia sudah cukup baginya merasakan kelazatan dakwah walaupun belum memadai sebenarnya.

'Nafsu dakwah' tidak akan puas selagimana matlamatnya belum tercapai iaitu bertemu Tuhannya.

Daie yang jiwanya larut dalam dakwah akan rasa sepertimana Ibrahim a.s, ketikamana Allah s.w.t mewahyukan kepada beliau agar meninggalkan Siti Hajar di tengah-tengah padang pasir ketika itu. Dengan itu daie boleh merasakan betapa lazatnya dakwah ketika memilih urusan Allah berbanding segalanya, yang akhirnya kesan kelazatan itu terasa hingga kini kerana kisah tersebut menjadi teladan duat sepanjang zaman terhadap segala sifat yang patut ada pada sang pemikul dakwah.

Sang daie yang hatinya hancur luluh demi dakwah akan rasa seperti Nuh a.s, tikamana beliau merasakan lazatnya dakwah setelah bersedih mengenangkan anaknya dan isterinya yang tidak turut serta dalam dakwahnya. Namun kelazatan itu juga turut dirasai oleh orang-orang selepasnya yang mengambil kisah Nuh a.s sebagai lagenda Sang Penyabar yang sangat memotivasi duat hari ini.

Daie yang benar-benar merasai kelazatan dakwah akan hidup sepertimana Rasulullah s.a.w hidup. Jiwanya berlegar di sekitar projek islah umat, penerusan risalah, dan menghidupkan roh-roh yang sedang terlelap lena. Dengan itu daie boleh rasa bagaimana lazatnya dakwah Nabi s.a.w ketika dibaling batu di Taif penuh dengan darah-darah saksi baginda s.a.w dan Zaid b. Haritsah sebagai bukti keseriusan baginda s.a.w terhadap agenda yang sangat besar ini.

Imam Hasan Al-Banna pernah menyebut ;

"Tiada perkara yang lebih aku suka lakukan pada setiap malam melainkan aku mengajarkan mengenai Islam di rumah-rumah orang" (Mafhum kata-kata beliau dalam sesebuah buku yang saya pun terlupa apa tajuknya).

Itulah kelazatan dakwah, yang terkandung dalamnya cinta Allah, cinta hakiki yang menjadi penentu segalanya. Duat memahami mereka melakukan semuanya hanya kerana taabbudnya dan hubbnya mereka kepada Pencipta mereka, yang menciptakan kelazatan yang paling agung ini.

Merekalah roh, yang menembusi segala institusi, segala aspek teknikal, segalanya. Mereka enggan menjadi bahagian-bahagian lain seperti tangan, kaki, kepala, hatta tulang belakang sekalipun. Mereka mahu menjadi bahagian 'roh' yang paling penting, membezakan antara hidup dan matinya seseorang manusia. Ia seperti yang dikatakan oleh seseorang ;

"Kita ini adalah fikrah , bukanlah sekadar institusi, fikrah ini sangat luas dan sangat penting, lebih luas daripada langit dan dunia, kerana ia adalah roh daripada urusan Allah, kita tidak layak untuk mengecilkan saiznya (peranannya kepada aspek-aspek tertentu sahaja)" - Tazkirah Duah, Ust Al-Bahiyy Al-Khuliy.

Para duat hakiki memahami hakikat ini dengan amal dan kerja-kerja mereka, perancangan dakwah mereka, doa-doa dan air mata mereka, duit-duit mereka yang habis dan waktu-waktu mereka yang terluang di dalam arena cinta hakiki ini.

Dengan kelazatan ini, duat mampu mati sepertimana matinya para syuhada' di kalangan sahabat, tabiin, dan salafussoleh serta yang mengikuti jejak langkah mereka, dengan berkongsi kelazatan-kelazatan dakwah yang berkesinambungan, berantai, dan pelbagai. Matinya mereka dengan penuh kerinduan dan kelazatan hakiki, dan akhirnya nafsu dakwah mereka puas dengan lepasnya rindu mereka kepada Allah s.w.t, Pencipta segala yang mereka rindukan.

Namun, ia tidak disedari oleh ramai orang yang tidak pandai membaca 'kamus-kamus buruk' ini. Ini kerana mereka sendiri tidak tahu membaca kamus, bahkan kehendak dirinya sendiri pun tidak mahu !

"Sesungguhnya pada setiap (kisah yang diceritakan dalam Al-Quran) itu ada petunjuk, tetapi kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu itu Maha Kuasa lagi Maha Penyayang" - Surah Asy-Syu'araa'

Jom baca & cinta & hayati kamus buruk !

Wallahua'lam.

1 comment:

Thaaqhib Mohammed said...

tahniah untuk penistilahan yg menarik. terus berkembang.

juga suka akan perumpamaan "kamus buruk"