Friday, May 14, 2010

Izzatud Dakwah


Salam.

Allah berfirman :

"Barangsiapa yang mahukan izzah (kemuliaan) maka segala kemuliaan itu adalah di sisi Allah" - Surah Fatir

Allah s.w.t Maha Agung. Segala yang disandarkan padanya adalah perkara yang agung.
Dakwah Allah sangat agung kerana nilainya dalam hidup alam semesta ini tidak terkira, ia boleh dikatakan nyawa kepada alam ini. Ini kerana ia adalah tujuan penciptaan manusia, penurunan Al-Quran dan penciptaan alam semesta ini.

Seseorang yang menyandarkan dirinya kepada dakwah, ia bererti menyandarkan dirinya pada sesuatu yang paling mulia. Oleh kerana itulah mereka yang mewaqafkan diri untuk dakwah Allah ini akan terus kekal, disebut-sebut sehingga ditulis dalam kitab yang paling mulia, iaitu Al-Quran Al-Karim.

Para anbiya' dan salafussoleh ketika mewaqafkan diri mereka dengan dakwah ini, mereka tidak berniat / tidak menyangka mereka ini akan dikenang sepanjang zaman, tetapi Allah telah mengangkat nilai mereka yang tinggi, sehingga mengabadikan nama-nama insan terpilih itu dalam kitab-Nya, dan menggerakkan jari-jemari para penulis sejarah sahabat untuk mencatat segala riwayat hidup, generasi-generasi dakwah yang agung ini.

Diri mereka hancur lebur, dek kerana kemuliaan dakwah ini. Mereka meletakkan dakwah di hadapannya, maka segalanya pasti menjadi remeh dan mudah di sisinya. Seperti kata-kata pepatah Arab :

" من عرف قيمة ما يطلب هان عليه مقدار ما يبذل "
- barangsiapa yang mengetahui betapa besarnya nilai barang yang diminta, sudah pasti ringanlah baginya segala apa yang dikorbankan -

Orang begini Allah akan naikkan martabatnya, di sisi manusia, dan seluruh alam semesta, serta yang paling hebat adalah di sisi-Nya.

--

Dalam kehidupan seharian kita, kadang-kadang kita mencari sebuah kemuliaan.
Lantas kita mencari kemuliaan berbentuk kemasyhuran di sisi manusia, material, berbentuk intelektual, berbentuk fizikal, dan apa-apa bentuk lagi yang zahir-zahir.

Kita semua adalah makhluk yang mulia. Tetapi kemuliaan kita ada darjatnya. Buktinya Allah menyebut orang yang paling mulia adalah orang yang bertaqwa.

Bila kita mencari jenis-jenis kemuliaan yang disebut, maka satu pun daripadanya tidak mampu membawa kita kepada taqwa. Ini adalah kerana taqwa itu sebenarnya kita membina dinding di antara diri kita dan maksiat. Semakin tinggi dinding tersebut, maka semakin susah untuk kita ke seberang maksiat, lantas makin tinggi nilai taqwa kita.

Segala yang disebutkan tadi itu langsung tidak mampu membawa kita ke arah kemuliaan yang paling tinggi. Bahkan ia hanya kemuliaan di sisi manusia, dan di sisi Allah nilainya tiada.

Maka di sini bila kita merenung ayat-ayat Allah seperti yang disebut di atas, maka kita mengetahui bahawa kemuliaan sebenar yang patut kita cari, adalah kemuliaan yang membawa kita makin rapat kepadanya. Maka ia tidak lain dan tidak bukan, adalah kemuliaan dakwah Allah itu sendiri.

Bila sang daie meletakkan di hadapan matanya, di hadapan segala amalnya, di hadapan segala pertimbangannya, mahu memuliakan dakwah Allah, maka pada ketika itulah Allah akan memuliakannya, dan meletakkannya di hadapan saf-saf para mujahidin yang telah mewakafkan diri mereka, hanya kerana mahu dakwah Allah itu terus mulia.

Ini berlaku dalam sejarah. Sejarah telah memuliakan generasi sahabat, kerana mereka membawa kemuliaan dakwah ke seluruh alam. Lantas mereka menjadi generasi yang paling tsiqah sehinggakan riwayat hidup mereka dinilai satu-satu kerana boleh dibuat contoh dan dalil bagi orang-orang yang selepas mereka.

Kehidupan mereka sebelum mendapat keizzahan dakwah itu penuh dengan jahiliyyah yang sangat dahsyat. Tetapi seperti mana Allah telah menggantikan kegelapan malam dengan cahaya mentari pada waktu siang, seperti itulah Allah memuliakan mereka dengan cahaya dakwah, yang telah membawa rahmat 'kemuliaan' (izzah) kepada seluruh alam.

Oleh kerana kemuliaan ini sungguh tinggi, maka dengan itulah Umar Al-Khattab r.a menyebut kalimah yang masyhur :

"Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam, jika kita cari selainnya maka Allah akan hinakan kita".

Ini kerana umat Islam adalah umat dakwah. Mereka mulia kerana amanah dakwah yang telah diamanahkan kepada mereka. Jika mereka meninggalkan dakwah, maka Allah pasti akan menggantikannya dengan umat yang lain, kerana mereka ini sudah tak layak memikul amanah ini.
Mereka dahulunya ketika merasakan kemuliaan ini, mereka mencari sebanyak mungkin ruang agar dakwah itu mulia di segenap pelusuk dunia. Diri mereka menerjah seluruh dunia agar dakwah itu subur dan kemuliaannya terkembang ke seluruh umat. Diri mereka adalah dakwah yang mulia. Dengan diri mereka dakwah itu mulia.

Mereka tidak memahami bahasa-bahasa picisan kerana himmah (kehendak) mereka melepasi segala ketinggian alam semesta dan bersambung terus kepada Tuhan Arasy. Mata dan kepala mereka sering mendongak ke langit, menandakan jiwanya sentiasa terpaut pada Tuhan Yang Maha Tinggi, sepertimana terpautnya jiwa Kekasih s.a.w ketika menunggu wahyu penentuan qiblat daripada Allah.

"Sesungguhnya Kami telah melihat pandanganmu yang berulang-ulang ke arah langit, maka dengan itu Kami akan mengarahkan agar kamu menghadap kepada qiblat yang kau redha, maka palingkanlah mukamu ke Masjidil Haram" - Surah Al-Baqarah

Jika kita ingin mulia, ambillah kemuliaan yang sebenar di sisi Allah. Padanya ada segala kemuliaan, tinggikan himmah kita hingga mencapai kepada matlamat yang paling agung iaitu tersebarnya dakwah ini dan menjadikan dakwah ini dimuliakan di seluruh dunia.

Ajarlah generasi kita erti kemuliaan ini, didiklah mereka dengan erti kemuliaan ini seperti mana Allah mendidik Musa a.s dengan firmannya :

"Kami berkata : Janganlah takut, sesungguhnya engkau (wahai Musa) lebih tinggi (daripada mereka itu - firaun dan ahli sihirnya)" - surah Taha

Musa pada ketika itu tiada langsung kemuliaan duniawi untuk mengalahkan Firaun dan pengikutnya, tetapi dirinya yang membawa risalah itu sudah cukup untuk Allah memuliakan dirinya di hadapan semua manusia yang hadir menyaksikan pertembungan antara tipu daya sihir dan juga mukjizat Musa a.s.

Pada ketika Allah menzahirkan kemuliaan dakwah kepada manusia, segala kemuliaan duniawi itu akan mencari pembawa-pembawa dakwah yang sangat agung ini. Seperti mana orang-orang yang sesat di tengah hutan akan mencari-cari cahaya yang boleh menunjukkan jalan di tengah malam yang gelap gelita.

Ia dapat ditunjukkan dalam kisah Musa a.s ini, ahli-ahli sihir itu lantas terus bersujud kepada Allah dan memeluk Islam. Tidakkah itu satu kemuliaan duniawi (dengan sujudnya orang yang hebat dan masyhur di sisi kaum Firaun, tetapi lantas menyokong risalah Musa a.s) setelah kemuliaan dakwah terzahir ???

Letakkanlah kemuliaan dakwah di hadapan diri kita, nescaya segala yang kita lakukan akan menjadi mulia, tidak kira ia adalah study, bekerja, menolong ibubapa, mengajar, berjalan ke masjid dan sebagainya. Pohonlah agar Allah sentiasa muliakan kita dengan dakwah, dan memuliakan dakwah dengan diri kita.

Ingatlah orang terdahulu dirinya layak digelar syuhada' dan perintis jalan ini kerana diri mereka sentiasa terbakar dengan rasa izzah dakwah, bukan izzah jahiliyyah. Mereka sentiasa menghayati firman Allah :

"Adakah mereka (orang munafiq) menyangka di sisi mereka itu ada 'izzah', sesungguhnya 'izzah' itu segalanya adalah pada Allah" - Surah An-Nisa'
Himmah mereka yang membuak-buak membuatkan diri mereka sentiasa bertaharruk, mencari segala ruang agar obor-obor kemuliaan dakwah ini dapat dinyalakan dan menyelamatkan seberapa ramai mungkin manusia daripada jahiliyyah.

Himmah mereka untuk menyelamatkan manusia seperti kata-kata Isa a.s apabila tiba di suatu kampung :

"Tunjukkan padaku manakah lelaki yang paling jahat di sini?"

Lantas teman rapatnya Yahya a.s yang ketika itu bersamanya bertanya :
"Mengapa kau mahu lelaki yang paling jahat ?"

Lantas Isa a.s menjawap : "Kerana aku ingin mengubatinya"

Akhirnya dengan izzatud dakwah ini, ia akan menjadikan kita seperti mana ia telah menolak orang-orang sebelum kita untuk tunaikan amanah yang penuh sarat dengan cubaan dan ujian, namun himmah mereka yang kuat telah menjadikan istiqamah sebagai jalan yang paling dicintai, kerana mereka memahami ..

Bilamana mereka meminta agar ditunjukkan jalan yang lurus ; (اهدنا الصراط المستقيم)

Jalan yang lurus bermaksud jarak yang paling dekat di antara dua titik seperti yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim dalam Madarij Salikin. Maka oleh kerana itu, istiqamah itu bermaksud kelurusan dan dekatnya ia pada tujuan (ghayah) iaitu Allah.

Dengan itu, mereka memahami bahawa hakikat istiqamah itu adalah pada dekatnya ia dengan Allah, dan bererti taqarrub. Lantas mereka dengan himmah yang tinggi itu sentiasa memohon agar sentiasa rapat dengan Allah ... melalui jalan orang-orang yang istiqamah.

Maka benarlah kata-kata Allah :

"Dan bagi Allah segala kemuliaan, dan juga Rasul-Nya, dan para mukminin tetapi orang yang munafiq tidak mengetahuinya" - Surah Munafiqun

Wallahua'lam.