Monday, May 25, 2009

Dia itu yang ku mahu jadi.


Salam.
Kif hal ? Kuwais ?

Sebulan tak post. Belum nampak keperluan. Tapi kali ini macam dah rasa perlu. Ruangan ini saya rasa perlu lebih berhati-hati dalam memilih perkataan supaya ia jadi tepat dan mampu mengenai hati-hati para daie yang punya fikrah, agar tulisan ini tidak sia-sia. InsyaAllah. Hanyasanya kerana Allah.

Hari Guru dah berlalu. Selamat Hari Guru kepada semua guru-guruku. Tak tersenarai, kerana ramai sangat. Bagiku semua yang pernah menegur/mengajar/memberitahu apa-apa yang tidak pernah kuketahui adalah guruku. Ia termasuk kawan/senior/junior/kakak/abang/ibubapa/adik/pakcik/makcik apatah lagi guru-guru yang rasmi yang memang bergelar guru.

الحر من راعى وداد لحظة وانتمى لمن أفاده لفظة

(Orang yang merdeka adalah, siapa yang meraikan kasih sayang walaupun sebentar, dan menghargai sesiapa yang mengajarnya walau satu lafaz) - Imam Syafie

Tapi kali ini, pasal si Dia,

Dia yang kumaksudkan adalah,

Orang yang mengajarku erti kehidupan sebenar, yang sebenarnya,
Orang yang mengajarku erti kesibukan sebenar, yang sebenarnya,

Dia amat unik. Allah berikan aku 'dia', aku rasa sebagai hadiah yang sangat bernilai. Seolah-olah diberikan rahmat yang tak tertanding seluruh alam.

Dengannya, aku pelajari,
Bagaimana memandang perkara kecil itu besar,
dan memandang perkara besar itu kecil dan mudah.

Dengannya, aku fahami,
Bahawa Islam itu bukannya sekadar teori, tapi ia amali.
Islam itu bukan gelaran, tapi tanggungjawap dan kemuliaan.
Islam itu bukan hak peribadi, tapi ia adalah hak manusiawi.

Dan yang paling jelas adalah,
Islam itu bukan apa yang kita fahami, selagimana kita tidak bergerak dalam amal Islami.

Dia hebat. (wala nuzakki ala Allahi ahadan - Dan tidak kami menyucikan sesiapapun selain Allah) Seluruh tenaga, masa, anggota, kemampuan dicurahkan untuk tujuan Rasulullah. Dirinya sebagai cermin Ketua Murabbi sepanjang zaman s.a.w.

Dia perkenalkan aku sebuah jalan,
Jalan itu payah katanya, panjang pula,
Penuh duri dan ranjau (rasa macam biasa dengar kan)
Katanya tidak ramai suka,
Aku akui memang ramai mengelak walau nampak macam tak sengaja,
Ramai juga yang macam tak suka bila aku di dalamnya,

Tapi nak buat macam mana,
Kalau dah aku katakan sudah jatuh cinta ?

Dalam jalan itu,
Aku dapat fahami hakikat dalam hakikat,
Aku cuba menyelami jiwa seorang penyelamat,
Aku cuba dalami nilai apa yang dikatakan 'penat',
Aku cuba hargai jasa mereka yang telah lama dan berangkat,
Aku (mungkin) fahami cara mereka memikirkan umat,
Aku (mungkin) rasai penderitaan mereka dalam memerah keringat,
Aku (mungkin) cuba berjinak-jinak dengan 'kamus' yang paling berat.

Dia,

Tidak pernah kata,
"Awak jadilah macam saya"
Tapi dia kata,
"Awak mesti jadi lebih hebat daripada saya"

Dia tidak kata,
"Awak tidak boleh buat begitu"
Tapi dia kata,
"Kalau awak tinggalkan, awak boleh pergi lebih jauh lagi"

Dia tidak kata,
"Awak jangan membazir masa"
Tapi dia kata,
"Masa itu adalah kehidupan awak sendiri"

Menjadi dirinya bererti menjadi golongan minoriti.
Menjadi dirinya bererti menjadi rijal sejati yang rabbani.
Menjadi dirinya bererti melihat dari pandangan dakwie dan tarbawie, bukan duniawi.
Menjadi dirinya bererti berfikir cara untuk mencari pengganti.
Menjadi dirinya bererti memikul risalah yang terberat dalam sejarah bumi.

Ianya tergabung dan terjalin segalanya dalam sebuah makna,

Dia itulah yang ku maksudkan..
Dia itulah yang ku impikan untuk menjadi sepertinya bahkan lebih baik..
Dia itu..

Murabbi.

"Semoga kekalnya diri menjadi ahli-ahli penyelamat manusia kembali kepada Pencipta"
Ameen.

Nukilan khas buat Murabbi, tanda kasih dan rindu terhadap nostalgia bersama.

Dari mutarabbi yang setia (insyaAllah).
Salam.

Wednesday, April 29, 2009

Bila diri itu melihat dan menilai


Salam kepada semua.
Imtihan sudah semakin hampir. Moga-moga kita tergolong dalam golongan yg cemerlang. Ameen ya Rabb.

Baru-baru ini hangat sesebuah isu. Sampai saya pun dah terheret sama dalam isu tersebut. Ya Allah ampunkan daku sekiranya tersalah langkah. La'allahu khair. (Moga-moga ianya dalam keadaan baik)

---

Pada umur saya lebih kurang 15 tahun, ayah saya (panggil Papa) pernah menasihati saya dengan satu anologi yang sangat bermakna. Tika itu, saya kurang 'ngam' dengan adik saya yang bernama Hikmat. (sekarang sudah ada blog) .

Suatu malam saya bercadang untuk berbincang dengan serius bersama Papa untuk menyelesaikan masalah ini. Lalu Papa tanpa teragak-agak mengambil sebuah cawan yang terisi sepertiga penuh dengan air. Papa bertanya kepada saya ;

Papa : Dalam cawan ini.. ada apa?
Saya : Ada air la. dan air tidak penuh. (seolah-olah belum memahami)
Papa : Cawan ini sepertiga penuh dengan air atau dua pertiga penuh dengan udara ?
Saya : Aaa... sama je dua-dua tu kan ? (terkelu sebentar)
Papa : Tapi kebanyakan orang akan nampak air itu yg memenuhi ruangan cawan, sedangkan udara lebih banyak cuma orang tak perasan.

Saya : betul juga tu..
Papa : Awak ni.. cuma nampak apa yang adik awak buat salah je.. yang baik tak nampak pula. Cuba awak ubah cara awak lihat sesuatu perkara. Jadikan kelebihannya melebihi kekurangannya. Kalau tak awak hanya mengeruhkan keadaan.

Saya : (terkelu lagi) Okey pa. Syukran ya.

Nak dijadikan cerita, selepas itu saya terus berbaik-baik dengan adik saya dan hubungan kami lebih rapat, dan masing-masing berlapang dada. Bahkan dia lebih hebat lagi sekarang bila saya baca blognya di sini

Habis cerita lama.

---

Sekarang ini cerita baru pula. Isunya sama, iaitu isu akhlak seseorang terhadap seseorang. Isu ini sebenarnya menjadi fokus Nabi s.a.w dalam dakwah Baginda. Sungguh betapa banyaknya hadis-hadis mengenai akhlaq yang mulia.

Kalau kita hanya pandai mencari kesalahan memang sampai bila pun orang akan benci/tak suka kepada kita. Diri seseorang daie itu perlu mencari titik-titik pertemuan agar dirinya rapat dengan masyarakat. Dengan itu, daie tersebut akan mudah menyampaikan Islam dengan hubungan hati yang erat dan jauh daripada sifat-sifat mazmumah.

Daie yang terbaik adalah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w sangat menyayangi umatnya. Baginda tidak membenci bahkan menyayangi. Sayangnya Baginda hinggakan tersebut dalam Al-Quran, hampir-hampir Baginda ingin memusnahkan dirinya kerana umat Arab ketika itu berpaling daripada risalah.

Cara fikirnya adalah cara fikir penyelamat. Bukan cara fikir penghukum dan pemusnah. Baginda berfikir untuk menyelamatkan umat. Bukan berfikir untuk menghancurkan umat. Dari cara fikir yang benar akan menghasilkan tindakan yang benar.

Benarlah firman Allah s.w.t ;

Maka berilah peringatan sesungguhnya engkau adalah pemberi peringatan, engkau bukanlah penghukum/pemaksa/diktator/pemerintah - Surah Al-Ghasyiah.

Diriwayatkan dalam hadis bahawa Baginda s.a.w tidak pernah mengatakan kepada Zaid bin Haritsah (yang merupakan salah seorang hamba baginda (atau juga anak angkat)) ; perkataan 'kenapa kamu buat perkara itu? ' jika Zaid buat kesalahan, dan tidak pernah mengatakan 'kenapa kamu tidak buat?' jika Zaid tidak lakukan apa yang disuruh olehnya. Aw kama Qal alaissolatu wassalaam. (mafhum hadis).

Kita selalu mengatakan 'kenapa' berulang kali dan kita biasanya memberikan respons pada jawapan dzon kita yang negatif dan tidak/kurang menitikberat sudut positif.

STOP thinking WHY. START thinking HOW. Orang yang bijak tidak akan menyalahkan realiti, tetapi mencari jalan untuk memperbaiki realiti ke arah yang lebih baik. Sejarah lama itu telah berlalu dan kita bukanlah ahlinya yang sepatutnya untuk berbincang mengenai perkara zaman itu. Takut-takut fakta salah akan menyebabkan diri tergolong dalam senarai penyebar berita palsu. Nauzubillah min zalik.

Alangkah indahnya jika kita mengorak hidup kita ini (yang kita ahlinya) pada zaman ini dengan lebih baik dan lebih tenteram, berdasarkan panduan Sirah Nabawiyah yang harum dan sejarah salafussoleh yang menjadi kayu ukurnya.

Jika mahu menjadi seperti Rasulullah s.a.w, kena ikut cara baginda. Jangan mudah membenci, ia akan menjadikan kita mudah dibenci. Mudahkan diri untuk menerima orang lain dalam hidupmu, manusia akan menerimamu dalam hidup mereka. Hukum alam sangat mudah, tidak perlukan dalil naqli yang jitu dalam memahaminya.

Man la yarham, la yurham - (sesiapa yang tidak menyayangi, tidak disayangi)

Suasana yang harmoni itu adalah suasana bi'ah solehah yang penuh dengan akhlaq islamiah yang telah dipraktik oleh salafussoleh yang terdahulu sebelum kita.

Akhir kalam, saya sayang kepada semua umat Islam yang berjuang menegakkan Islam. Cukup untuk saya mencintainya kalau dia berjuang menegakkan Islam, secara zahirnya dan saya tidak mahu menghukum secara dalaman kerana ;

Nahnu nahkum bizzowahir, (Kami hanya menghukum dengan yang zahir)
Wallahu yatawallas saraair. (Allah yang akan menguruskan perkara-perkara dalaman)

Mungkin cara kita berbeza, tetapi akhlaq kita yang kita sama-sama praktik akan menjauhkan kita daripada perpecahan yang sebenarnya terlarang.

Saya akhiri dengan sepotong syair Arab ;

يمنعني من عيب غيري الذي أعرفه عندي من العيب
عيبي لهم بالظن مني لهم ولست من عيبي في ريب
إن كان عيبي غاب عنهم فقد أحصى ذنوبي عالم الغيب

Aku terlarang untuk mengumpat mengenai keaiban seseorang yang aku tahu keaibannya,
Umpatanku terhadap keaibannya adalah hanya dzon (prasangka) daripada ku,
Sedangkan diriku langsung tidak ragu-ragu terhadap keaibanku,
Kalaulah keaiban ku mereka tidak tahu maka sesungguhnya Yang Tahu Alam Ghaib akan menghitung dosa-dosaku.
(Tarikh Baghdad Jilid 10 ; halaman 83)

(dipetik dari kitab Al-Awaiq, Muhammad Ahmad Ar-Rasyid)

Salam ukhuwwah buat semua pejuang,
Khasnya rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa bersama-sama,
Moga Allah sentiasa berikan kita panduan dalam beramal.
Ingat, Allah tidak tanya hasil, tetapi titik peluh kita yang akan menjawab di hadapan-Nya.
Wsalam.

Tuesday, April 7, 2009

Daie itu


Salam.

Kif hal ? Lama dah tak post kat sini. Tapi malam ini terasa mahu meletakkan satu lontaran hati yang sedang cuba men-dakwie-kan diri serta men-tarbawi-kan peribadi. Ia mungkin berkait rapat dengan isu semasa yang berlaku di dalam dunia penulis, ketika ini.

Daie itu,

Walau di manapun dia berada, pasti akan terus bekerja. Tidak perlukan ruang yang tersedia atau wang yang terjana, atau sokongan yang berjela, atau medan yang telah terbina lama atau kuasa yang mampu buat segalanya, atau keturunan turun-temurun yang perkasa atau sebagainya yang indah-indah dan hebat-hebat belaka. Dirinya adalah dakwah yang sentiasa mulia dengan pengiktirafan Tuhan yang punyai akhirat dan dunia.

Daie itu,

Hidup dan matinya adalah akhlak mulia. Kata-katanya hanyalah berkisar Yang Maha Kuasa. Jasadnya adalah ISLAM yang tercerna. Misinya tidak lain hanyalah kebahagiaan selamanya. Fokusnya jelas terpandu dek sirah nabawiyah yang harum padu.

Daie itu,

Pandangannya tajam bak mata pedang. Fikirannya ligat memikirkan umat. Jiwanya sedih mengimbau luka umat yang pedih. Tangannya sentiasa terangkat, mendoakan umat yang telah tenat. Hatinya terpaut dengan rumah Allah yang sentiasa bergema memaut. Kakinya melangkah cepat menuju tujuan, tanpa teragak-agak dengan tipudaya syaitan.

Daie itu,

Ibarat air yang mengalir. Setitis air yang mampu membengkokkan batu yang keras dek usaha yang berpanjangan tanpa kenal penat lelah. Airnya memberi minum orang yang kehausan dan ketandusan iman. Duit poketnya habis hanya kerana dia adalah penyelamat. Jiwanya memberi sinar kepada sang pejalan yang sesat, sinarnya itu sangat kuat hingga menyebabkan semua orang terpikat. Yang terpikat kagum akan terikat, yang terpikat dengki akan terus menyuburkan hasad.

Daie itu,

Senyumannya memberikan sinar harapan. Tangisannya menandakan kesungguhan. Rintihannya hanya diketahui Tuhan. Kesakitannya hanya dirasai teman seperjuangan. Kebahagiaannya zahir ketika tasbih dan khalwat. Keluh-kesahnya diubati dengan wudhu' dan Al-Quran. Sejarah salafusoleh sebagai panduan dan penghayatan dalam kehidupan.

Daie itu,

Hidupnya adalah khidmat. Ruhnya hanya terikat pada kemuliaan syariat dan ketinggian martabat. Dakwahnya murni bak susu yang suci. Perjuangannya jelas menuju pasti hanya Satu matlamat. Jalannya luas dan panjang, tapi sayangnya ramai yang tersesat.

Daie itu,

Mulutnya dijaga ketat agar tidak tersilap tempat. Kalamnya dikawal rapi agar tidak ternyala api. Hubungannya dengan manusia amat dipentingkan agar tidak dapat kemarahan Tuhan. Celaan dan hinaan langsung bukan agenda dalam perjuangan. Yang dilihat hanyalah Firdaus di sisi Rabbul Izzat. Yang dimotivasi hanyalah keredhaan Yang Maha Tinggi.

Daie itu,

Hebatnya dia kekal sepanjang zaman. Kamus dakwah hanya mencatat nama yang tsabat atas jalan. Sejarah dakwahnya diambil sebagai sumber tamadun mencipta kegemilangan. Rohnya walaupun sudah terangkat, akan sentiasa terpahat di jiwa umat.

Daie itu,

Ketiadaannya adalah malapetaka. Kehilangannya adalah bencana. Mencelanya bererti mencela ketetapan kejadian Ilahi. Dirinya rabbani ibarat sang mentari, yang memancar bumi pada waktu siang hari. Alangkah malangnya sesiapa yang tidak menyedari, hakikat bahawa daie itu satu-satunya faktor penyelamat diri.

---

7 April 2009, Tanta.

Khas ditulis untuk sahabat-sahabat seperjuangan. 

Semoga kekal di atas jalan perjuangan. 

سيجعل الله بعد عسر يسرا

Allah akan menjadikan selepas kesusahan, kesenangan - Surah At-Talaq

Salam.

Wednesday, February 18, 2009

Larilah engkau sepantasnya, sejauhnya




Salam.
Kif hal ? Kuwais ? Alhamdulillah.
Post pada kali ini mungkin agak tidak mengikut tajuk. Tapi mungkin saya mahu menggambarkan senario diri yang sedang berlaku, di Mesir kini.

Suatu malam, dalam kira-kira 10 Feb 09, selepas maghrib aku tertidur selepas menyelesaikan amal fardiy, hingga Isyak. Tak sangka sempat juga ku bermimpi dalam tidur atau nap yang sebentar sahaja itu.

Aku melihat seolah-olah aku menyaksikan peristiwa yang kejam yang pernah berlaku di Mesir pada tahun 1966M. Iaitu hukum gantung 3 orang IM (Syed Qutb, Yusuf Hawwasy dan seorang lagi yang ku terlupa namanya). Yang terlihat di depan mataku ialah Syed Qutb. Beliau kulihat sangat tenang dalam menjalani hukuman tersebut. Aku nampak peristiwa itu dengan detail. Beliau berpakaian kot hitam yang memang menjadi pakaian kebiasaan orang Mesir. Kemudian tangannya diikat, serta kepala beliau dibalut dengan kain hitam. Muka tenang yang sangat mengkagumkan sesiapa yang melihat dirinya, termasuk diriku yang pada mulanya cemas, tetapi tenang setelah melihat air muka beliau.

Aku seolah-olah menjadi saksi ke atas hukuman ini.

Mimpiku tadi terus bertukar ke suatu pemandangan yang lain. Ini aku rasa lebih mengerikan.

Aku nampak sebarisan pemuda-pemuda dakwah beratur. Bukan untuk mengambil makanan atau untuk apa-apa, tetapi beratur untuk menerima hukuman mati. Di hadapan mereka adalah sebuah kolam yang dalam. Hukuman ini adalah hukuman mati lemas. Tak silap ku, mati lemas adalah mati yang paling seksa.

Yang menakjubkan adalah, pemuda-pemuda dakwah ini berebut-rebut untuk dijatuhkan hukuman terlebih dahulu mendahului sahabat-sahabatnya. Kemudian akhirnya dijatuhkan hukuman kepada salah seorang daripada mereka, dan ditenggelamkan ke dalam air. Selepas itu ruang atas kolam itu ditutup untuk tidak beri ruang untuk terapung dan bernafas. Dalam keadaan begitu, tangan pemuda itu membentuk tudingan ketika tahiyat akhir (jari telunjuk keluar dan jari lain digenggam) tanda La Ilaha illallah, dengan muka yang tenang.
Aku terbangun dengan denyutan jantung yang begitu kencang.

Aku beristighfar, dan menenangkan diri. Rasa rindu kepada Syed Qutb mula berputik. Aku segera melayari internet dan melihat serba ringkas biodata beliau, untuk menghilangkan sedikit rasa rindu kepada tokoh dakwah kontemporer ini.

Sungguhnya dakwah ini tidak akan mampu berkembang melainkan dengan jiwa-jiwa yang murni. Aku membayangkan situasi kedua dalam mimpiku tadi, seolah-olah di Malaysia akan berlaku seperti di Mesir, di mana ashabud dakwah (penghuni dakwah) itu akhirnya akan dihukum bunuh.

Aku rasa perkara ini tidak mustahil. Keyakinanku terhadap dakwah ini memang akan membawa kita (penghuni dakwah) ini ke satu medan pertempuran yang licik dan kejam. Akhirnya dakwah pada ketika itu tidak mampu berkembang melainkan dengan pengorbanan jiwa-jiwa para penghuninya. Sepertimana yang berlaku pada kisah Ghulam Dakwah (Ashabul Ukhdud), di mana dengan kematiannya sahaja, barulah mampu membuka pintu hidayah kepada satu masyarakatnya.

Seorang daie sejati ibarat seekor singa. Karat-karat jahiliyah yang ada dalam dirinya itu ibarat rantai-rantai besi yang mengikatnya. Apabila rantai-rantai itu dilepaskan, maka si singa akan pergi berlari sejauhnya, dan tidak akan kembali untuk diikat. Dia akan berlari dengan pantas untuk mencari mangsa seterusnya.

Ya, itulah dia seperti yang telah ditunjukkan oleh Singa Allah Hamzah Abd Muttalib. Beliau segera meninggalkan agama nenek moyang dan memeluk Islam bersama Kekasih s.a.w, padahal ketika itu beliau baru sahaja pergi memburu. Kepantasan dan kecekapan beliau dalam memilih cahaya daripada kegelapan menjadikan beliau dianugerahkan Sayyidus Syuhada' (Penghulu Syuhada') yang telah dibunuh oleh Wahsyi pada perang Uhud.

Sang pendakwah membenci kerendahan bumi dan mencintai keindahan terbang di langit. Hatinya lebih terikat kepada ketinggian, dan jauh dan cuba menjauhkan dari ikatan kerendahan di bumi. Itulah dia mujahid yang telah Allah sebutkan dalam surah An-Nisa' ;

"Dan Allah melebihkan kurniaan-Nya kepada mujahidin daripada orang-orang yang duduk, suatu ganjaran yang besar, darjat daripada-Nya, keampunan dan rahmat-Nya"

Itulah dia ibarat helang yang tinggi yang tidak suka terbang rendah. Sepertimana yang diceritakan oleh Abd Wahhab Azzam ;
قلت للصقر وهو في الجو عال
اهبط الأرض فالهواء جديب
قال لي الصقر : في جناحي وعزمي
وعنان السماء مرعى خصيب

"Aku katakan kepada helang yang sedang terbang tinggi,
Turunlah ke bumi, udara di sini segar.

Helang berkata kepadaku ; pada sayapku, dan keazamanku,
Serta ketinggian di langit ini, terdapat tempat makananku yang subur"

Kehidupan daie ini sangat-sangat hidup bila dibandingkan dengan perjalanan alam semulajadi. Ini kerana saf du'at ini sebahagian daripada sistem yang wajib ada dalam alam semesta ini. Ia boleh dikatakan sunnatullah dalam alam ini. Pasti akan ada hingga hari Kiamat.

Hayati makna alam ini, untuk lebih memahami tabiat dan hakikat dakwah kepada Allah yang sebenar dengan lebih mendalam.
Salam.

Wednesday, January 14, 2009

Al-Haneen wa Al-Syauq

Salam kepada semua.
Kif hal ? Alhamdulillah. Dah doakan saudara di Gaza? dah follow-up mereka?
Post ni diberi tajuk al-Haneen wa al-Syauq yg bermaksud - nostalgia dan kerinduan.
Saja diberi tajuk ini. Ia menggambarkan melankolik jiwa untuk melemaskan jiwa sedalam mungkin, ke dalam lautan tarbiyah dan iman.

Ia merupakan suatu bentuk pemandangan kehidupan syurgawi di dunia manusia ini. Ia memberikan kepada para daie sensitiviti yg penuh kesedaran dan kesungguhan, dalam memahami ma'ani tarbawiyah dalam setiap bentuk kehidupan.

Suatu malam, tika itu aku dilanda kekusutan atas beberapa perkara, aku telah bermimpi bertemu seorang murabbi yang pernah mendidikku di Malaysia satu ketika dahulu. Malam itu aku memasang MP3 sebelum tidur untuk melelapkan mata dengan haluan telinga. Tidur ku yang nyenyak selepas surah al-Mulk diutarakan diakhiri dengan dendangan nasyid oleh salah seorang murabbi di Malaysia (bertemuku dalam mimpi sambil bernasyid berulangkali).. ia berbunyi ;

والنصر نصر الله آت دون ريب أو توان

"dan kemenangan, iaitu pertolongan Allah akan datang, tanpa ragu-ragu dan angan-angan"

Ia adalah lirik daripada salah satu lagu lama IM yang bertajuk 'Yatawathabuun' (saling meningkat / mendaki) .

Ia didendangkan oleh Abu Ratib, seorang penasyid IM yang telah lama berkecimpung dalam arena dakwah IM dan menggunakan potensinya dalam menyebarkan nasyid-nasyid islami yang penuh semangat dan makna tarbawi dan dakwi.

Pagi itu, aku bangun dalam linangan airmata kerinduan mengenangkan sang murabbi, dan berbekalkan semangat baru yg diberi dalam mimpi yang penuh bermakna.

Ingin kubawa beberapa kisah para sahabat yang mengajar kita contoh dalam meleburkan perasaan dan jiwa dalam arena muhimmatur risalah ini ;

Lihat kisah Abu Bakr r.a ketika ayahnya masuk Islam. Beliau menangis. Apabila ditanya apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Abu Bakr? Beliau berkata : Sesungguhnya sekiranya yang memeluk Islam itu adalah Abu Talib (bapa saudara Nabi s.a.w) sudah pasti Baginda s.a.w akan gembira.

Lihat kisah Abu Ayyub Al-Ansori r.a ketika peperangan menawan Kota Kostantinopel, bagaimana beliau diminta dikuburkan di situ, walaupun tentera Islam terpaksa berundur pada ketika itu. Beliau mahu mendengar derapan tapak kaki kuda tentera muslimin yang dapat menawan kota ini suatu hari nanti. Akhirnya beliau dikuburkan di situ.

Lihat kisah Umar Khattab, pada suatu hari beliau tidak mampu melelapkan mata, kerana teringat akan saudaranya. Lalu pada keesokan harinya beliau pergi menemuinya dan mendakap saudaranya melepaskan kerinduannya.

Lihat kisah Rasulullah s.a.w, ketika Baginda suatu hari berkata kepada sahabatnya ;
Aku rindukan kekasih-kekasihku . Sahabat bertanya ; Bukankah kami ini kekasihmu wahai Rasulullah ? Baginda s.a.w menjawap ; Bahkan kamu ini sahabat-sahabatku, tetapi kekasih-kekasihku adalah mereka yang datang selepas ku, beriman denganku dan tidak pernah melihat wajahku.

Lihat kisah Rasulullah s.a.w, ketika Baginda di penghujung usianya, apakah yang diucapkan? itulah dia suatu kalimat yang menunjukkan muhimmatur risalah dalam prioriti yang pertama dalam fikirannya iaitu ;
Ummati .. Ummati .. (umatku .. umatku)

Alhamdulillah. Mesir banyak mengajarku pengertian-pengertian yang mendalam ini. Ia adalah anugerah Allah yang sangat mahal. Perasaan lebur dan lemas dalam lautan makna tarbawi dan dakwi membawa makna yang sangat besar dalam perkembangan seimbang bagi seorang pemikul dakwah.

Bagaimana seseorang mampu merindui Rasulullah s.a.w sekiranya pemikirannya bermain-main dengan perkara-perkara duniawi ? Bagaimana seseorang merindui kemenangan Islam sekiranya fokusnya adalah permasalahan peribadi sendiri yang tak berpenghujung penyelesaiannya?

Bagaimana seseorang mampu mencintai saudaranya seakidah / sefikrah sekiranya dirinya disibukkan dengan perkara-perkara peribadi dan perhiasan syaitan di dunia sementara ini ?

Bagaimana seseorang mampu mendalami perasaan para sahabat yang dalam sekiranya hidupnya pun tidak langsung mencontohi mereka ?

Daie yang larut dan lebur dalam tarbiyah dan dakwah tidak mampu memikirkan perkara-perkara remeh, pemikirannya bergerak di sekitar objektif-objektif dakwah dan menyalurkan perasaannya pada objek-objeknya.

Persoalan perasaan dan nostalgia dalam arena perjuangan ini adalah yang termanis bagi para pemikul amanah dakwah. Itulah hiburannya. Kenangan bersama ikhwah itulah pengalaman termanisnya. Pengalaman dalam dakwah itulah sejarah hidupnya. Perasaan dan jiwa yang diberi kepada dakwah ini tidak akan pernah sia-sia, bahkan ia akan dibangkitkan bersama-sama orang-orang yang dicintainya di dunia. Sekiranya dia mencinta Rasulullah s.a.w, maka dia sudah pasti akan bersama Baginda di akhirat. Sekiranya selain daripada itu.. maka dengan merekalah dia berkumpul.

Kesimpulannya, timbulkan keasyikan dan hayati makna perasaan dan jiwa yang tenggelam dalam lautan yang dalam ini. Ia akhirnya akan menjadikan seseorang daie itu adalah hasil dakwah dan tarbiyah yang teguh dan setia.

Akhirnya bersatulah ia dengan dakwah, dan jadilah ia sebahagian dari dakwah, dan dakwah adalah sebahagian dari dirinya.

Wallahua'lam.

Sunday, November 16, 2008

Sedetik dalam Fiqh Dakwah


Salam.
Dah lama rasanya tak update di blog ini.
Mungkin di sini akan ku coret beberapa perasaan dan kefahaman ku (setakat ini) dalam dakwah yang aku yakini. Insya-Allah mudah dibaca dan difahami. Khasnya untuk sesiapa yang mahu mendalami sedikit sebanyak mengenai apa yang aku fahami buat masa ini.

Dakwah yang ku yakini ini,
Sepenuhnya manhaj yang sangat sempurna, kerana datang dari Allah, melalui contoh Baginda s.a.w.

Dakwah yang ku yakini ini,
Semata-mata kerana Allah, menuju Allah, bersama Allah, meminta pandangan Allah, dan bertujuan meletakkan kalimah Allah di atas tempat tertinggi.

Dakwah yang ku yakini ini,
Meletakkan rohani pada tahap yang utama, dalam masa yang sama langsung tidak meletakkan aset kemanusiaan, akhlak, ilmu, jasad, ekonomi dan sebagainya pada tahap yang diabaikan. Pendek kata syumul dari segi semua perkara.

Dakwah yang ku yakini ini,
Perlu manusia yang membangunkannya, kerana ia adalah untuk manusia, dan dengan manusia ia akan tertegak, melalui usaha manusia.

Dakwah yang ku yakini ini,
Tidak perlu kita berfikir bagaimana untuk mulakannya, bagaimana caranya, terlalu dalam, cukuplah kita mengatakan ; Kami ini pengikut Muhammad s.a.w, dan kami ingin buat apa yang Baginda s.a.w buat.

Dakwah yang ku yakini ini,
Meletakkan aspek akhlak sebagai satu simbol keimanan. Tanpa akhlak maka hilanglah ukhuwwah. Tanpa akhlak maka hilanglah jemaah, hilanglah segalanya rukun bai'ah.

Dakwah yang ku yakini ini,
Tidak mengenal erti graduate dan senior, tidak mengenal erti baru dan muda, tidak mengenal erti umur, ia hanya mengenal kesungguhan dan kebenaran.

Dakwah yang ku yakini ini,
Memerlukan seseorang yang tajarrud (total) dari segi semua perkara, untuk menggerakkan kafilah ini dengan lebih stabil dan mantap.

Dakwah yang ku yakini ini,
Dimulai dengan gembira dan senang, tetapi pada pertengahan jalan ia sangat susah.. dan semakin susah, maka ia memerlukan orang yang kuat. Yang tidak kuat akan jatuh. Mungkin bangun mungkin terus tertidur.

Dakwah yang ku yakini ini,
Tidak akan berhenti, malah akan terus berjalan, bersama kita atau tanpa kita. Kerana penolong Allah itu akan senantiasa wujud, bezanya kita terpilih atau tidak.

Dakwah yang ku yakini ini,
Bukan semua orang boleh masuk, bukan semua orang boleh yakin, tetapi dakwah ini langsung tidak mengenepikan tugas2 orang lain, ia hanya bekerja di medan yang paling aula dan paling bermanfaat, mengikut keyakinan, keutamaan, kesesuaian dan kesedaran.

Dakwah yang ku yakini ini,
Memerlukan pengorbanan. Kerana harganya sangat mahal untuk kita hanya memberikan apa yang kita tidak mahu. Kerana dengan pengorbanan baru bererti perjuangan.

Dakwah yang ku yakini ini,
Ahli-ahlinya sentiasa bergerak berjumpa manusia, kerana mereka yakin bahawa terdapat sangat ramai orang yang perlu diselamatkan.

Dakwah yang ku yakini ini,
Tidak langsung bersifat material, kerana ia yakin tugas ini adalah tugas yang tiada ganjaran yang patut diminta kepada manusia, kerana gajinya sangat mahal yang hanya mampu dibayar oleh Allah s.w.t.

Dakwah yang ku yakini ini,
Tidak memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukannya.

Dakwah yang ku yakini ini,
Hanyalah diduduki oleh manusia, bukan malaikat dan bukan binatang, mereka manusia seperti biasa, bezanya mereka ini kerana memahami hakikat syariat dan risalah.

Dakwah yang ku yakini ini,
Walau apa pun yang berlaku, sudah pasti akan sampai ke penghujung dan destinasinya.

Dakwah yang ku yakini ini,
Adalah segalanya yang aku impikan, mahukan, lakukan, teruskan, korbankan, dan aku hanya ingin mati di atasnya, kerana itulah semulia-mulia kematian.

Inilah dia satu-satunya hakikat kehidupan dalam diriku. Inilah dia kebenaran yang satu.

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam" - Surah Al-An'am

Semoga dapatlah sedikit sebanyak memahami diriku, mungkin orang kata ekstremis. Tapi kalau nak dengar apa orang kata, sampai bila tak ke mana kan?
Inilah dia satu-satunya jalan yang kupilih. Moga-moga aku tetap teguh. Ameen ya Rabb.

Salam.

Saturday, May 3, 2008

Indahnya Ukhuwwah, Indahnya Fitrah









Salam. Sila hayati gambar-gambar di ladang di Siberbay, tempat di mana saya tinggal.Gambar di atas bersama ikhwah dari Mansurah dan Kairo. Yang atas sekali tu namenye Sayyid (empunya ladang). Dia yang bawa kami ke situ. (gambar ini diambil pada musim sejuk), Gambar atas sekali tu kat ladang, tengah naik himar. Yang tengah tu kat Sg Nil, Mansurah. (Naik sampan malam-malam buta menghayati keindahan pemandangan Sg Nil pada waktu malam)






Gambar awan. Subhanallah. (InsyaAllah kalau ada kesempatan, banyak lagi gambar bakal menyusul)


Suatu hari, saya bersama sahabat-sahabat pergi berjalan-jalan sekitar ladang-ladang di Siberbay. Antaranya ladang gandum, bawang, limau, dan bermacam-macam lagi. Pada saat itu, terasa indahnya nikmat, apabila kita melihat ciptaan Allah yang unik dan berbagai. Mungkin tidak perlu penjelasan, kerana kita semua sudah arif.


Tika itu juga, terasa nikmat ukhuwwah yang terjalin, di antara kami semua, mungkin tiada persamaan, langsung tiada, tetapi persamaan yang mengadili semua manusia, menjadikan ikatan ini begitu indah tersemat dan terikat.


Tika ku terpandang awan, aku terasa indah, damai, bahagia, dan bermacam-macam perasaan. Tika ku terpandang ladang yang menghijau, bunga yang berkembang, daun bawang yang mahu didebungakan, terasa takjub, hebat, kagum, dan selesa, serta aman.


Tika ku terpandang manusia, kadang-kadang kagum, kadang-kadang pelik, kadang-kadang benci, kadang-kadang bahagia. Mengapa ya? Bahkan dia adalah makhluk yang terbaik, dan aku adalah daripada mereka.


Tetapi apabila aku menghayati ikatan suci ukhuwwah fillah ini, aku menyedari bahawa kita semua bukanlah manusia yang dikehendaki oleh Allah secara tabi'enya, melainkan apabila ikatan kita ini di atas ikatan fitrah, iaitu ikatan yang diikat oleh Allah S.W.T. Barulah baru mampu kita memandang manusia, semuanya, dengan pandangan yang aman, damai, bahagia, seperti kita memandang bulan purnama, seperti memandang lautan yang luas dan nyaman, sepertinya kita memandang kejernihan air sungai.


Tika aku berfikir mengenai ukhuwwah dan fitrah, kita tidak dapat sekali-kali menolak bahawa perhubungan itu sangat indah, seindah ciptaan Allah yang dapat dilihat dengan mata kasar, apa-apa jua pun, dan kita sangat memerlukannya. Kerana Islam itu indah, barulah Allah pilih ia sebagai agama di sisi-Nya. Barulah manusia layak untuk hidup dengannya. Kerana itu, manusia langsung tidak dapat lari, untuk menjadikan keindahan ikatan ini dengan tujuan utama dari akibat penciptaannya, iaitu ta'abbudi, dan secara mudahnya hanyasanya mencari keredhaan Allah.


Firman Allah S.W.T :
" Dan siapakah yang paling baik celupannya berbanding celupan Allah ?"

-Surah Al-Baqarah


Setiap ciptaan Allah yang indah itu, dipandang indah kerana ia mengikut peraturan yang Allah tentukan. Termasuklah manusia, mereka indah sekiranya mengikut peraturan Penciptanya, hubungannya tampak seperti bulan yang mengambang, seperti jernihnya awan, seperti indahnya matahari terbenam, apabila segalanya tersemai, terikat, dan terjalin di atas hubungan kerana Allah S.W.T.

Yang lebihnya manusia ini, mereka diberi pilihan yang berbagai. Tidak seperti makhluk yang lain. Bahkan rasul-rasul semuanya sekali dari kalangan mereka. Alangkah mulianya! Itulah sebabnya, mereka yang memilih jalan Tuhannya, maka sudah pasti sangat tinggi darjatnya di sisi Tuhannya.

Tiada yang dikira melainkan kerana-Nya, tiada yang manis melainkan untuk-Nya, tiada yang hebat, melainkan jiwa yang bekerja semata-mata kerana-Nya.

Semoga hubungan kita, semuanya, terjalin di atas sebab-sebab Ilahi yang sangat tersirat dan bermakna seribu satu.


Allahumma inni as'aluka hubbaka,

Wa hubba man yuhibbuka,

Wa hubba 'amalin yuqarribuna ilaika.

Ameen.


Pendamba cinta-Nya.