Wednesday, April 29, 2009

Bila diri itu melihat dan menilai


Salam kepada semua.
Imtihan sudah semakin hampir. Moga-moga kita tergolong dalam golongan yg cemerlang. Ameen ya Rabb.

Baru-baru ini hangat sesebuah isu. Sampai saya pun dah terheret sama dalam isu tersebut. Ya Allah ampunkan daku sekiranya tersalah langkah. La'allahu khair. (Moga-moga ianya dalam keadaan baik)

---

Pada umur saya lebih kurang 15 tahun, ayah saya (panggil Papa) pernah menasihati saya dengan satu anologi yang sangat bermakna. Tika itu, saya kurang 'ngam' dengan adik saya yang bernama Hikmat. (sekarang sudah ada blog) .

Suatu malam saya bercadang untuk berbincang dengan serius bersama Papa untuk menyelesaikan masalah ini. Lalu Papa tanpa teragak-agak mengambil sebuah cawan yang terisi sepertiga penuh dengan air. Papa bertanya kepada saya ;

Papa : Dalam cawan ini.. ada apa?
Saya : Ada air la. dan air tidak penuh. (seolah-olah belum memahami)
Papa : Cawan ini sepertiga penuh dengan air atau dua pertiga penuh dengan udara ?
Saya : Aaa... sama je dua-dua tu kan ? (terkelu sebentar)
Papa : Tapi kebanyakan orang akan nampak air itu yg memenuhi ruangan cawan, sedangkan udara lebih banyak cuma orang tak perasan.

Saya : betul juga tu..
Papa : Awak ni.. cuma nampak apa yang adik awak buat salah je.. yang baik tak nampak pula. Cuba awak ubah cara awak lihat sesuatu perkara. Jadikan kelebihannya melebihi kekurangannya. Kalau tak awak hanya mengeruhkan keadaan.

Saya : (terkelu lagi) Okey pa. Syukran ya.

Nak dijadikan cerita, selepas itu saya terus berbaik-baik dengan adik saya dan hubungan kami lebih rapat, dan masing-masing berlapang dada. Bahkan dia lebih hebat lagi sekarang bila saya baca blognya di sini

Habis cerita lama.

---

Sekarang ini cerita baru pula. Isunya sama, iaitu isu akhlak seseorang terhadap seseorang. Isu ini sebenarnya menjadi fokus Nabi s.a.w dalam dakwah Baginda. Sungguh betapa banyaknya hadis-hadis mengenai akhlaq yang mulia.

Kalau kita hanya pandai mencari kesalahan memang sampai bila pun orang akan benci/tak suka kepada kita. Diri seseorang daie itu perlu mencari titik-titik pertemuan agar dirinya rapat dengan masyarakat. Dengan itu, daie tersebut akan mudah menyampaikan Islam dengan hubungan hati yang erat dan jauh daripada sifat-sifat mazmumah.

Daie yang terbaik adalah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w sangat menyayangi umatnya. Baginda tidak membenci bahkan menyayangi. Sayangnya Baginda hinggakan tersebut dalam Al-Quran, hampir-hampir Baginda ingin memusnahkan dirinya kerana umat Arab ketika itu berpaling daripada risalah.

Cara fikirnya adalah cara fikir penyelamat. Bukan cara fikir penghukum dan pemusnah. Baginda berfikir untuk menyelamatkan umat. Bukan berfikir untuk menghancurkan umat. Dari cara fikir yang benar akan menghasilkan tindakan yang benar.

Benarlah firman Allah s.w.t ;

Maka berilah peringatan sesungguhnya engkau adalah pemberi peringatan, engkau bukanlah penghukum/pemaksa/diktator/pemerintah - Surah Al-Ghasyiah.

Diriwayatkan dalam hadis bahawa Baginda s.a.w tidak pernah mengatakan kepada Zaid bin Haritsah (yang merupakan salah seorang hamba baginda (atau juga anak angkat)) ; perkataan 'kenapa kamu buat perkara itu? ' jika Zaid buat kesalahan, dan tidak pernah mengatakan 'kenapa kamu tidak buat?' jika Zaid tidak lakukan apa yang disuruh olehnya. Aw kama Qal alaissolatu wassalaam. (mafhum hadis).

Kita selalu mengatakan 'kenapa' berulang kali dan kita biasanya memberikan respons pada jawapan dzon kita yang negatif dan tidak/kurang menitikberat sudut positif.

STOP thinking WHY. START thinking HOW. Orang yang bijak tidak akan menyalahkan realiti, tetapi mencari jalan untuk memperbaiki realiti ke arah yang lebih baik. Sejarah lama itu telah berlalu dan kita bukanlah ahlinya yang sepatutnya untuk berbincang mengenai perkara zaman itu. Takut-takut fakta salah akan menyebabkan diri tergolong dalam senarai penyebar berita palsu. Nauzubillah min zalik.

Alangkah indahnya jika kita mengorak hidup kita ini (yang kita ahlinya) pada zaman ini dengan lebih baik dan lebih tenteram, berdasarkan panduan Sirah Nabawiyah yang harum dan sejarah salafussoleh yang menjadi kayu ukurnya.

Jika mahu menjadi seperti Rasulullah s.a.w, kena ikut cara baginda. Jangan mudah membenci, ia akan menjadikan kita mudah dibenci. Mudahkan diri untuk menerima orang lain dalam hidupmu, manusia akan menerimamu dalam hidup mereka. Hukum alam sangat mudah, tidak perlukan dalil naqli yang jitu dalam memahaminya.

Man la yarham, la yurham - (sesiapa yang tidak menyayangi, tidak disayangi)

Suasana yang harmoni itu adalah suasana bi'ah solehah yang penuh dengan akhlaq islamiah yang telah dipraktik oleh salafussoleh yang terdahulu sebelum kita.

Akhir kalam, saya sayang kepada semua umat Islam yang berjuang menegakkan Islam. Cukup untuk saya mencintainya kalau dia berjuang menegakkan Islam, secara zahirnya dan saya tidak mahu menghukum secara dalaman kerana ;

Nahnu nahkum bizzowahir, (Kami hanya menghukum dengan yang zahir)
Wallahu yatawallas saraair. (Allah yang akan menguruskan perkara-perkara dalaman)

Mungkin cara kita berbeza, tetapi akhlaq kita yang kita sama-sama praktik akan menjauhkan kita daripada perpecahan yang sebenarnya terlarang.

Saya akhiri dengan sepotong syair Arab ;

يمنعني من عيب غيري الذي أعرفه عندي من العيب
عيبي لهم بالظن مني لهم ولست من عيبي في ريب
إن كان عيبي غاب عنهم فقد أحصى ذنوبي عالم الغيب

Aku terlarang untuk mengumpat mengenai keaiban seseorang yang aku tahu keaibannya,
Umpatanku terhadap keaibannya adalah hanya dzon (prasangka) daripada ku,
Sedangkan diriku langsung tidak ragu-ragu terhadap keaibanku,
Kalaulah keaiban ku mereka tidak tahu maka sesungguhnya Yang Tahu Alam Ghaib akan menghitung dosa-dosaku.
(Tarikh Baghdad Jilid 10 ; halaman 83)

(dipetik dari kitab Al-Awaiq, Muhammad Ahmad Ar-Rasyid)

Salam ukhuwwah buat semua pejuang,
Khasnya rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa bersama-sama,
Moga Allah sentiasa berikan kita panduan dalam beramal.
Ingat, Allah tidak tanya hasil, tetapi titik peluh kita yang akan menjawab di hadapan-Nya.
Wsalam.

Tuesday, April 7, 2009

Daie itu


Salam.

Kif hal ? Lama dah tak post kat sini. Tapi malam ini terasa mahu meletakkan satu lontaran hati yang sedang cuba men-dakwie-kan diri serta men-tarbawi-kan peribadi. Ia mungkin berkait rapat dengan isu semasa yang berlaku di dalam dunia penulis, ketika ini.

Daie itu,

Walau di manapun dia berada, pasti akan terus bekerja. Tidak perlukan ruang yang tersedia atau wang yang terjana, atau sokongan yang berjela, atau medan yang telah terbina lama atau kuasa yang mampu buat segalanya, atau keturunan turun-temurun yang perkasa atau sebagainya yang indah-indah dan hebat-hebat belaka. Dirinya adalah dakwah yang sentiasa mulia dengan pengiktirafan Tuhan yang punyai akhirat dan dunia.

Daie itu,

Hidup dan matinya adalah akhlak mulia. Kata-katanya hanyalah berkisar Yang Maha Kuasa. Jasadnya adalah ISLAM yang tercerna. Misinya tidak lain hanyalah kebahagiaan selamanya. Fokusnya jelas terpandu dek sirah nabawiyah yang harum padu.

Daie itu,

Pandangannya tajam bak mata pedang. Fikirannya ligat memikirkan umat. Jiwanya sedih mengimbau luka umat yang pedih. Tangannya sentiasa terangkat, mendoakan umat yang telah tenat. Hatinya terpaut dengan rumah Allah yang sentiasa bergema memaut. Kakinya melangkah cepat menuju tujuan, tanpa teragak-agak dengan tipudaya syaitan.

Daie itu,

Ibarat air yang mengalir. Setitis air yang mampu membengkokkan batu yang keras dek usaha yang berpanjangan tanpa kenal penat lelah. Airnya memberi minum orang yang kehausan dan ketandusan iman. Duit poketnya habis hanya kerana dia adalah penyelamat. Jiwanya memberi sinar kepada sang pejalan yang sesat, sinarnya itu sangat kuat hingga menyebabkan semua orang terpikat. Yang terpikat kagum akan terikat, yang terpikat dengki akan terus menyuburkan hasad.

Daie itu,

Senyumannya memberikan sinar harapan. Tangisannya menandakan kesungguhan. Rintihannya hanya diketahui Tuhan. Kesakitannya hanya dirasai teman seperjuangan. Kebahagiaannya zahir ketika tasbih dan khalwat. Keluh-kesahnya diubati dengan wudhu' dan Al-Quran. Sejarah salafusoleh sebagai panduan dan penghayatan dalam kehidupan.

Daie itu,

Hidupnya adalah khidmat. Ruhnya hanya terikat pada kemuliaan syariat dan ketinggian martabat. Dakwahnya murni bak susu yang suci. Perjuangannya jelas menuju pasti hanya Satu matlamat. Jalannya luas dan panjang, tapi sayangnya ramai yang tersesat.

Daie itu,

Mulutnya dijaga ketat agar tidak tersilap tempat. Kalamnya dikawal rapi agar tidak ternyala api. Hubungannya dengan manusia amat dipentingkan agar tidak dapat kemarahan Tuhan. Celaan dan hinaan langsung bukan agenda dalam perjuangan. Yang dilihat hanyalah Firdaus di sisi Rabbul Izzat. Yang dimotivasi hanyalah keredhaan Yang Maha Tinggi.

Daie itu,

Hebatnya dia kekal sepanjang zaman. Kamus dakwah hanya mencatat nama yang tsabat atas jalan. Sejarah dakwahnya diambil sebagai sumber tamadun mencipta kegemilangan. Rohnya walaupun sudah terangkat, akan sentiasa terpahat di jiwa umat.

Daie itu,

Ketiadaannya adalah malapetaka. Kehilangannya adalah bencana. Mencelanya bererti mencela ketetapan kejadian Ilahi. Dirinya rabbani ibarat sang mentari, yang memancar bumi pada waktu siang hari. Alangkah malangnya sesiapa yang tidak menyedari, hakikat bahawa daie itu satu-satunya faktor penyelamat diri.

---

7 April 2009, Tanta.

Khas ditulis untuk sahabat-sahabat seperjuangan. 

Semoga kekal di atas jalan perjuangan. 

سيجعل الله بعد عسر يسرا

Allah akan menjadikan selepas kesusahan, kesenangan - Surah At-Talaq

Salam.